DUNGUN 19 JULAI 2019. Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN) berjaya menangkap seekor harimau di Kampung Besul Lama, Bukit Besi. Harimau jantan terbabit ditembak menggunakan peluru ubat pelali sewaktu berehat di dalam sebuah belukar yang terletak kira-kira 500 meter daripada jalan utama di kampung terbabit, jam 3.30 petang. NSTP/IMRAN MAKHZAN


JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) akan melakukan beberapa ujian terhadap harimau yang ditangkap di Kampung Besul Lama, Bukit Besi, Dungun, kelmarin bagi mengenal pasti sama ada harimau seberat 130 kilogram itu diserang penyakit.

Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, harimau yang ditempatkan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan di Sungkai, Perak itu akan diambil contoh darah untuk ujian.

Menurutnya, harimau itu perlu menjalani beberapa ujian sebelum ia dihantar ke makmal untuk diuji sama ada haiwan itu sakit dan bagaimana ia boleh keluar dari habitatnya atau kemungkinan ia dibela.

“Paling cepat kita akan memperoleh hasil keputusan itu dalam tempoh dua minggu lagi,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak empat perangkap dengan menggunakan umpan kambing masih dipasang bagi mengesan seekor lagi harimau yang masih bebas sebagaimana didakwa penduduk.

“Kita teruskan usaha mengesan seekor lagi harimau ini dalam tempoh satu atau dua minggu lagi, namun operasi itu akan dihentikan sekiranya kita gagal menemui haiwan itu dalam tempoh berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Abdul Kadir berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mendekati harimau dan haiwan ganas yang lain seperti gajah dan beruang sekiranya terserempak.

“Bukan sahaja di Dungun tetapi di lokasi lain. Jangan dekati haiwan itu biarpun ia kelihatan jinak kerana kita bimbang sifat jinak itu boleh bertukar ganas sehingga membahayakan nyawa,” katanya.

Katanya, orang ramai yang menemui binatang liar sebaliknya perlu menghubungi pejabat PERHILITAN berhampiran dengan segera bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

Berita berkaitan

Umpan ayam perangkap harimau

Hebat Ayoh Wang kite...

Seram sejuk badan dijilat harimau

Rimau `jinak' masuk kampung [METROTV]

Harimau haiwan peliharaan?

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 1:58 PM