Dziyaul Afnan Abdul Rahman


DUA beranak disyaki mendera dan mengurung remaja perempuan orang kurang upaya (OKU) pembelajaran berusia 14 tahun di luar rumah mereka di Kampung Gial, Arau, direman empat hari bermula hari ini.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah pagi ini.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, penahanan terhadap ibu dan abang kandung mangsa dilakukan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Kita perlu menahan dua beranak ini yang berusia 40 dan 15 tahun terlebih dahulu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan berlakunya penderaan terhadap mangsa.

“Malah individu dipercayai jiran bertanggungjawab memuat naik video ke laman sosial mengenai remaja ini juga sudah dipanggil untuk diambil keterangan semalam.

“Jadi buat masa ini, kita akan melakukan proses soal siasat terhadap semua pihak disyaki terbabit dalam kes ini,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut mengenai status terkini dan keadaan mangsa, Nanda berkata pihaknya masih menunggu laporan penuh daripada Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar.

“Dia masih dirawat di HTF dan pihak polis masih menunggu laporan penuh daripada pakar sama ada mangsa benar didera atau sebaliknya.

“Sama ada dia akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau tidak, semua itu bergantung pada laporan penuh kesihatan mangsa,” katanya.

Kelmarin, tular rakaman seorang remaja perempuan tidur di luar rumah di laman Twitter oleh seorang pengguna menerusi satu akaun dipercayai didera ibu dan abang kandungnya.

Dalam rakaman ini, selain dipaksa tidur di luar rumah, mangsa mendakwa turut disimbah air panas, dipukul dengan batang buluh termasuk anggota badannya dikepit playar.

Hantaran mendapat 179,000 tontonan dan lebih 20,000 diulang ciap pengguna mendapat reaksi netizen dan pihak berkuasa di negeri ini.

Berita berkaitan

JKM tunggu siasatan polis

Tergamaknya ibu dan abang [METRO TV]

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 2:21 PM
Dua beranak dibawa ke Mahkamah Kangar bagi mendapatkan perintah reman. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN