Nurul Fhatihah Zakinan dan Rizanizam Abdul Hamid


PAMERAN Hartanah MyRumah 2019 anjuran The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) di pusat beli belah AEON Bandaraya Melaka, hari ini, berakhir dengan sambutan menggalakkan daripada pempamer dan pengunjung.

Pempamer bukan sekadar menyediakan tawaran pelbagai unit kediaman bersesuaian dengan kemampuan pengunjung membeli kediaman idaman mereka malah rebat berpatutan dan khidmat nasihat.

Penolong Pengarah Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Syed Mohd Zhubir Syid Zin berkata, pakej menarik disediakan di gerai pameran agensi itu antaranya produk khas di bawah Skim Perumahan Mampu Milik Swasta khas untuk pembeli rumah pertama.

“Pihak kerajaan menyediakan bantuan iaitu rebat sehingga RM30,000 bagi pembeli rumah pertama. Pembeli tidak perlu mengeluarkan deposit dan kerajaan beri bantuan tanpa perlu bayaran balik.

“Di sini juga, turut disediakan khidmat nasihat panduan membeli rumah dan setakat ini ada tiga projek perumahan di bawah agensi, di Melaka,” katanya.

Beliau berkata, pameran itu juga inisiatif terbaik daripada NSTP dalam membantu mereka yang masih mencari kediaman idaman dengan menghimpunkan pemaju, syarikat insurans, pakar hartanah serta aktiviti menarik untuk keluarga.

Sementara itu, Eksekutif Jualan dan Pentadbiran Scientex Heights Sdn Bhd, Nurul Aslyn berkata, penyertaan kali pertama di pameran hartanah itu membantu pengunjung mengenali projek hartanah dan rumah mampu milik (RMM) sekitar Melaka dan luar negeri, dengan lebih dekat sekali gus mensasarkan pengunjung yang berpotensi.

“Jenis unit kediaman yang kita tawarkan pada pameran ini ialah rumah teres dua tingkat mampu milik di sekitar kawasan Durian Tunggal dengan harga serendah RM180,000,” katanya.

Pameran Hartanah MyRumah 2019 siri kedua berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu itu dengan mempamerkan lebih 12 projek perumahan di sekitar negeri Melaka dan Johor, merangkumi sejumlah 2,653 unit dengan anggaran nilai pembangunan kasar RM681 juta.

Pameran berkenaan menyasarkan pembeli rumah dan pelabur hartanah sekitar wilayah selatan dengan menawarkan hartanah pada harga serendah RM180,000 sehingga RM679,000.

Pameran itu turut menampilkan tujuh pempamer iaitu pemaju hartanah utama, Bukit Pelali (Astaka Padu Sdn Bhd); Faithview Group Development Sdn Bhd; Handal Group Jabatan Perumahan Negara (JPN); Lembaga Perumahan Melaka (LPM); Scientex Height Sdn Bhd dan SPNB Aspirasi (SPNB), dan turut disertai oleh Takaful Ikhlas Berhad.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 6:36 PM
PENGUNJUNG yang hadir pada pameran hartanah MyRumah 2019 anjuran NSTP di Pusat Beli Belah Aeon Bandaraya Melaka. FOTO Rasul Azli Samad