ROKIAH (kiri) bersama anaknya, Maznah dan menantu, Ibrahim (kanan) terpilih mengerjakan haji bersama-sama. FOTO EMEL
Mohamad Hussin


“HASIL jualan durian kampung dan petai yang dikumpul selama 10 tahun kerana mahu mengerjakan ibadat haji satu hari nanti, akhirnya tercapai.

“Alhamdulillah, seruan sudah sampai untuk saya ke Tanah Suci,” kata Rokiah Mat Kassim, 81, dari Kampung Potong Pinang, Pokok Asam, Taiping, Perak.

Beliau ke Makkah bersama anak, Maznah Din, 65, dan menantu, Ibrahim Hassan, 66, terpilih menjadi tetamu Allah sempena Musim Haji 1440H/2019M.

Katanya, dia tidak dapat menahan sebak selepas pertama kali dapat menunaikan rukun Islam kelima walaupun usianya sudah menjangkau hampir seabad.

“Saya menerima tawaran daripada Tabung Haji (TH) pada Disember tahun lalu dan keliru sama ada mahu menerima atau menolak tawaran berkenaan.

“Pada masa sama, anak dan menantu turut menerima tawaran haji menyebabkan saya mengambil keputusan pergi bersama.

“Kami sama-sama mendaftar dengan TH dan bersyukur kerana terpilih tahun ini,” katanya yang ditemui di Kompleks TH, Sepang, hari ini.

Bagaimanapun, Rokiah yang masih sihat terpaksa menggunakan kerusi roda kerana lututnya tidak kuat untuk berjalan.

Menurutnya, kadang kala hasil pendapatan menjual durian dan petai boleh mencecah RM6,000 hingga RM7,000 semusim.

Sementara itu, Ibrahim berkata, ibu mentuanya tiada masalah kesihatan kerana sering mengamalkan makanan sihat termasuk menjadikan ulam sebagai juadah.

“Semangat dia memang kuat untuk menunaikan haji kerana sudah lama menanti saat ini.

“Sudah lama ibu menanti panggilan tetapi tahun ini memang rezeki saya dan isteri dapat pergi bersamanya.

“Segala persiapan mental dan fizikal sudah kami lakukan termasuk mengikuti 17 siri kursus haji termasuk Kursus Haji Perdana,” katanya.

dalam pada itu, Maznah berkata, dia tidak sabar menunaikan ibadat haji bersama ibunya kerana dapat berbakti menjaganya sepanjang di Tanah Suci.

“Saya dan suami akan menggalas tanggungjawab menjaga ibu di sana nanti. Saya beruntung kerana dalam sembilan adik beradik kami, Allah SWT pilih saya untuk membawa ibu ke sana,” katanya yang mempunyai tujuh cahaya mata.

Mereka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 3 petang tadi dan dijangka tiba jam 6.55 petang (waktu Arab Saudi).

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 7:33 PM