Pistol tiruan dan pil erimin 5 yang dirampas susulan penahanan dua lelaki dalam bilik sebuah rumah kedai di Langkawi Mall Fasa 11 di Langkawi, semalam.
Hamzah Osman


DUA lelaki ditahan polis kerana memiliki pistol tiruan dan pil erimin 5 ketika serbuan dalam bilik sebuah rumah kedai di Langkawi Mall Fasa 11 di Langkawi, semalam.

Mereka itu yang masing-masing berusia 23 tahun ditahan dalam serbuan pada 4.45 petang oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Kuah hasil maklumat awam yang curiga dengan gerak geri kedua-dua lelaki itu.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, dalam serbuan itu polis menemui sepucuk pistol tiruan serta satu peket peluru bebola serta 80 biji pil erimin 5 yang disembunyikan dalam almari.

Menurutnya, hasil semakan mendapati kedua-dua suspek adalah penganggur dan seorang daripadanya memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Kedua-dua suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, dua lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, kedua-dua suspek juga disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” Aizat

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 11:45 AM