Suliati Asri


PERNAH menjejakkan kaki ke Macao atau mungkin bercadang untuk bercuti ke sini? Macao adalah destinasi percutian yang menawarkan banyak tempat menarik dan unik untuk dikunjungi termasuklah sejarah, bangunan, makanan dan taman tema.

Jika belum, apa kata kali ini ikuti acara tahunan yang dirai gilang gemilang sehingga Disember. Ia bukan saja dinantikan penduduk tempatan tetapi juga penyertaan antarabangsa.

Banyak kejutan yang diperlihatkan di sepanjang acara berlangsung walau sudah acap kali dianjurkan.

Acara yang menghiasi kalendar Macao setiap tahun ini juga secara tidak langsung menjadi tarikan yang cukup popular. Ia bagaikan satu ‘bonus’ buat anda selain berkunjung ke tempat menarik dan bersejarah di sini.

Wushu Masters Challenge 2019

• Tarikh: 1 hingga 4 Ogos 2019

• Laman web: http://www.sport.gov.mo

Bagi peminat seni mempertahankan diri Wushu, ia menjadi acara pertama yang akan berlangsung di pertengahan tahun 2019 ini. Wushu Master Challenge 2019 akan diadakan pada 1 hingga 4 Ogos menghimpunkan pemain wushu terbesar di dunia.

Ia merangkumi tiga kategori utama iaitu Dragon dan Lion Dance, Taolu dan Sanda yang menggabungkan unsur-unsur sukan, pelancongan dan budaya serta mewujudkan acara sukan dan pelancongan yang menarik.

Berlangsung di lokasi berbeza iaitu di Tap Seac Multisport Pavilion, Tap Seac Square dan Taman Iao Hon Market, penyertaan dari penduduk dan pelancong sangat digalakkan melalui pelbagai bentuk acara bagi meningkatkan pengetahuan mengenai sukan tradisional ini, belajar dan melatih serta bertukar dan berkongsi pengalaman mereka dalam mengamalkan wushu.


Pertandingan Pertunjukan Bunga Api Antarabangsa Macao ke-30

• Tarikh: 7, 13, 21, 28 Sep & 1, 5 Oktober 2019

• Laman web : http://fireworks.macaotourism.gov.mo

Tiada yang lebih indah menyaksikan percikan bunga api pelbagai warna di waktu malam. Tapi ini bukan sebarang pertunjukan bunga api sebaliknya pertandingan membabitkan penyertaan antarabangsa.

Tentunya setiap peserta berlumba-lumba menghasilkan yang terbaik untuk menambat hati juri dan orang ramai.

Berlangsung kali ke-30, Pertandingan Pertunjukan Bunga Api Antarabangsa Macao dengan tema ‘Duo Celebrations for Macao’ kali ini dijadualkan pada 7, 13, 21, 28 September dan 1 , 5 Oktober.

Menariknya, sempena ulang tahun ke-30 Pertandingan Pertunjukan Bunga Api Antarabangsa Macao dan ulang tahun ke-20 Macao SAR tahun ini, 5 Oktober nanti adalah pertunjukan malam tambahan sebagai malam keraian.

Acara ini turut disertai pasukan antarabangsa termasuk Malaysia, Filipina, Portugal, Korea, United Kingdom, Romania, Afrika Selatan, Kanada, Perancis, China, Jepun dan Switzerland.

Jangan lepaskan peluang ini untuk menikmati percutian eksotik yang diterangi cahaya bunga api yang menakjubkan. Pemandangan waktu malam yang mempesona itu juga boleh disaksikan dari pelbagai sudut di Semenanjung Macao dan Pulau Taipa.


Grand Prix Macao ke-66

• Tarikh: 14 - 17 November 2019

• Laman web: http://www.macau.grandprix.gov.mo

Diiktiraf sebagai acara paling berprestij di peringkat antarabangsa dan berlangsung selama 66 tahun, Grand Prix Macao nyata acara yang menawarkan kepuasan tersendiri.

Saat berada di litar, pelumba pemotoran terbaik WTCC dan Formula 3 di dunia bersaing sesama sendiri dan mendedikasikan masa kepada perlumbaan di sepanjang litar ‘Guia Circuit’ dan berpusing di bandar Macao.

Deruman nyaring enjin kereta lumba, sorakan orang ramai, tekanan adrenalin dan keseronokan tanpa henti mewujudkan suasana riuh-rendah di kota ini.

Ia secara tidak langsung membuatkan penonton terutama yang datang dari luar Macao pulang dengan 1001 cerita yang cukup menakjubkan.




Macao International Marathon

• Tarikh: 1 Disember 2019

• Laman web: http://www.macaumarathon.com/en

Dihoskan buat pertama kalinya pada 1981, acara ini masih menghiasi kalendar acara Macao selain terus menarik bilangan pelari jarak jauh tempatan dan antarabangsa yang besar.

Larian penuh maraton termasuk semenanjung Macao, Taipa dan Coloane, manakala separuh dan mini maraton direka bukan sahaja untuk menarik perhatian atlet profesional tetapi atlet amatur yang ingin menguji ketahanan mereka.

Justeru, Macao International Marathon mempunyai cabaran dan tarikan tersendiri yang harus di cuba.

Anugerah & Festival Filem Antarabangsa Macao ke-4

• Tarikh: 5 - 10 Disember 2019

• Laman web: http://www.iffamacao.com

Macao bakal disinari kerlipan bintang terkenal yang hadir di Anugerah & Festival Filem Antarabangsa Macao (IFFAM). Acara gemilang yang mengumpulkan penggiat seni ini mula diperkenalkan pada 2016 dan kini meraikan tahun keempat.

Acara dianjurkan bersama Pejabat Pelancongan Kerajaan Macao (MGTO) dan Persatuan Penerbitan Filem & Televisyen dan Kebudayaan Macao, berlangsung selama seminggu untuk memberikan peluang kepada ahli profesional kebudayaan dan kreativiti tempatan bertukar pendapat serta meningkatkan profil antarabangsa Macao. IFFAM ini juga adalah acara utama Macao 2019. Selain itu, pihak IFFAM telah mengumumkan bahawa Peter Chan Ho-sun telah dilantik sebagai Presiden Juri tahun ini manakala Carina Lau dilantik sebagai Duta Bakat, serta Wang Xiaoshuai, Kim Yong-Hwa dan Karan Johar telah dilantik sebagai Duta IFFAM.


Festival Cahaya Macao

• Tarikh: Disember 2019 (Tarikh akan disahkan)

Persis bermandi cahaya di seluruh bandar Macao, Festival Cahaya Macao sememangnya acara tahunan yang tidak harus dilepaskan.

Dilancarkan buat pertama kalinya pada 2015, ia kini menjadi acara tahunan yang diadakan setiap bulan Disember di lokasi tertentu di semenanjung Macao dan pulau-pulaunya.

Sepanjang festival ini, pengunjung pasti terpesona dengan pertunjukan ‘projection mapping’, instalasi cahaya, permainan interaktif dan banyak lagi aktiviti lain yang menyeronokkan.

Malah sebab utama acara ini diadakan untuk menarik pengunjung ke setiap daerah berbeza menghayati Macao di malam hari serta mempelajari budaya dan sejarah tempatan dari pelbagai sudut pandangan berinovasi yang dibentuk oleh kesenian cahaya.


Untuk lebih maklumat, ikuti media sosial @Macao Tourism Malaysia

Facebook: https://www.facebook.com/MacaoTourismMalaysia/

Instagram: https://www.instagram.com/macaotourismmalaysia/

Pejabat Pelancongan Kerajaan Macao (MGTO) akan mengambil bahagian di MITM Fair dari 9 hingga 11 Ogos ini di MID VALLEY EXHIBITION CENTRE (Nombor booth: C043-C044 & C049-C050).

Pameran tahun ini pastinya menjadi tumpuan ramai kerana terdapat pelbagai promosi dan pakej pelancongan Macao menarik ditawarkan khas untuk pengunjung yang hadir.

Oleh itu, jadilah seorang daripada 300 pengunjung yang membeli pakej pelancongan ditawarkan dan anda berpeluang membawa pulang baucar beli-belah selain hadiah eksklusif. Promosi ini sah sementara stok masih ada. Tertakluk kepada terma dan syarat.

Jadi apa tunggu lagi, tempah pakej percutian ke Macao dengan segera. Macao menanti anda disana.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 12:02 PM