Foto hiasan
Fairul Asmaini Mohd Pilus dan Muhaamad Hafis Nawawi


TIMBALAN pendakwa raya (TPR) dan peguam yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana membantu membebaskan sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sepatutnya dihantar ke Depot Tahanan Imigresen disambung reman dua hari lagi.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata, tempoh tahanan reman mereka berdua dan enam anggota polis yang ditahan itu tamat pada hari ini.

Menurutnya, beberapa anggota polis terbabit juga akan disambung reman bagi membantu siasatan.

“Siasatan masih berjalan dan tidak mahu membuat sebarang spekulasi,” katanya ketika ditemui pada Bengkel Serantau dalam Mempromosikan Ketelusan Pemunya Benefisiari di Asia Tenggara di Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan seorang TPR ditahan SPRM kerana membantu membebaskan PATI yang sepatutnya dihantar ke Depot Tahanan Imigresen.

Lelaki berusia 32 tahun itu ditahan di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, Selangor.

SPRM turut menemui wang tunai berjumlah RM82,500 daripada suspek yang dipercayai diperoleh daripada hasil rasuah.

Tangkapan terhadap seorang suspek bergelar peguam, SPRM turut menemui wang tunai RM17,500.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 12:09 PM