Latheefa. Foto NSTP
Fairul Asmaini Mohd Pilus


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu memiliki peruntukan khas berkaitan pemunya benefisiari dalam Akta SPRM 2009 bagi menangani masalah rasuah di negara ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata, peruntukan itu penting memandangkan ada kekangan dalam akta sedia ada khususnya dalam kes rasuah membabitkan proksi dalam sesebuah syarikat.

Menurutnya, negara berdepan dengan beberapa kes sebelum ini yang menunjukkan keperluan peraturan lebih ketat dalam mengawal selia pemunya benifisiari.

“Beberapa kes yang sedang dibicarakan di mahkamah ketika ini seperti SRC International adalah contoh jelas mengapa kita perlu peruntukan baharu itu.

“Selain itu, terdapat kes di mana ketika disiasat pemilik sebuah kenderaan memiliki kenderaan di luar kemampuannya, ia adalah antara kesulitan yang kami hadapi, jadi kami perlu memiliki peruntukan undang-undang mencukupi untuk menyokong siasatan SPRM,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Bengkel Serantau: Mempromosi Ketelusan Pemunya Benifisiari di Asia Tenggara di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Seri Azam Baki.

Mengulas lanjut, Latheefa berkata, pihaknya juga akan mengkaji undang-undang berkaitan dari negara luar yang sesuai dan boleh diguna pakai di negara ini.

“Di beberapa negara, cara mereka mengambil tindakan mungkin berbeza dan kita jadikan bengkel ini sebagai platform untuk membanding dan menilai undang-undang yang sesuai untuk digunakan Malaysia,” katanya.

Pada Januari lalu, kerajaan memutuskan untuk memasukkan peruntukan baharu undang-undang mengenai tanggungjawab mendedahkan pemunya benefisiari (beneficial ownership) ke dalam Akta SPRM 2009 (Akta 694).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 12:53 PM