Shamsul Munir Safini


BERANG dan kecewa kerana cinta tidak berbalas, seorang lelaki yang dipercayai penagih dadah bertindak menculik seorang wanita berusia 29 tahun dalam satu kejadian di Bertam, Kepala Batas malam tadi.

Dalam kejadian 10.30 malam itu, mangsa yang bekerja di sebuah pasar raya sedang berjalan ke keretanya untuk pulang ke rumah didatangi lelaki terbabit.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa kemudiannya ditolak masuk ke dalam keretanya sebelum sebelum lelaki berkenaan memandu kenderaan terbabit untuk melarikannya.

Menurutnya, ketika itu berlaku sedikit pergelutan sebelum mangsa menjerit meminta pertolongan dan didengari beberapa rakannya di situ.

“Beberapa lelaki cuba menahan kereta Proton Iriz itu tetapi dia memecut laju.

“Susulan kejadian itu, bapa mangsa yang dimaklumkan mengenai kejadian terbabit cuba menghubungi anak perempuannya tetapi gagal sebelum satu laporan polis dibuat,” katanya.

Menurutnya, polis yang menerima laporan terbabit menggerakkan usaha memburu suspek sebelum lelaki itu menyerah diri kira-kira enam jam kemudian di Balai Polis Kepala Batas.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek mendakwa membawa wanita berkenaan ke kawasan pasar di Tasek Gelugor dan mengunci dan mengurungnya di dalam kereta berkenaan.

“Mangsa mendakwa tangannya diikat dengan tali oleh suspek ketika berada di dalam keretanya itu.


Detik cemas ketika kereta mangsa yang dipandu suspek memecut meninggalkan kawasan pasar raya di Bertam, Kepala Batas yang berjaya dirakam, malam tadi.

“Suspek dan mangsa berada di kawasan pasar di Tasek Gelugor itu kira-kira satu jam sebelum lelaki berkenaan menghubungi abang kandungnya untuk memberitahu mengenai kejadian terbabit,” katanya.

Menurutnya, abang suspek kemudiannya berjumpa dengan mereka di pasar itu sebelum membawanya ke kawasan Pantai Bersih, Butterworth dengan menaiki kereta jenis Proton Wira miliknya.

“Tujuan mereka bertiga ke pantai itu adalah untuk memujuk mangsa supaya tidak memanjangkan kes dan meminta suspek untuk menyerahkan diri kepada polis.

“Selepas lebih empat jam di situ, suspek kemudiannya bersetuju untuk menyerah diri kepada polis,” katanya.

Noorzainy berkata, abang suspek kemudiannya membawa lelaki itu dan mangsa ke Balai Polis Kepala Batas untuk tindakan lanjut.

Katanya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan suspek kemudiannya ditahan untuk tindakan lanjut.

“Suspek mengaku bertindak sedemikian kerana mangsa tidak mahu menjalinkan hubungan dengannya dan sebelum ini bapa mangsa ada membuat laporan polis kerana anak perempuannya sering diganggu lelaki berkenaan.

“Kejadian dipercayai bermotifkan dendam dan berdasarkan rekod didapati suspek mempunyai rekod lampau membabitkan dadah.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 1:36 PM