NIK Adiela menunjukkan gambar ibu bapanya iaitu Mat Radzuan dan Tuan Rohayani. FOTO Ihsan Pembaca


“KALAU jumpa, saya nak salam serta peluk erat mak dan juga ayah buat kali pertama selama 23 tahun terpisah.

“Saya nak tanya kenapa tinggalkan saya, kenapa tak cari saya sedangkan mereka tahu mana rumah saya,” kata pembantu jualan, Nik Adiela Mat Radzuan, 23.

Kisahnya yang mengesan ibu bapa kandungnya iaitu Mat Radzuan Abd Aziz, 46, dan Tuan Rohayani Tuan Malik, 48, tular di laman Twitter, sejak semalam.

Setakat 3.00 petang ini perkongsian itu mendapat lebih 20,500 ulang ciap dan 7,852 tanda suka dengan rata-rata warganet mendoakan agar dia dipertemukan dengan ibu bapanya.

Nik Adiela berkata, dia di tinggalkan sejak berusia enam bulan di bawah jagaan neneknya iaitu Maimunah Abdul Kadir, 80, di Felda Kampung Sertik Karak, Pahang.

“Saya sudah buat pelbagai cara, termasuk cuba mengesan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), namun gagal berikutan maklumat ayah tidak dikemas kini sehingga sekarang, manakala ibu pula ada warga Thailand.

“Tahun lalu saya berjaya mengesan abang tiri yang berusia 26 tahun melalui surat beranak yang ditinggalkan oleh ibu.

“Ketika itu, saya cuba hubungi dia dengan harapan mak ada bersama dengannya.

“Namun, hampa apabila dia memaklumkan saya yang dia turut ditinggalkan oleh ibu sejak lahir dan kini menetap dengan bapa kandung dan ibu tirinya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Dia berkata, doa untuk mak dan ayahnya tidak pernah putus setiap kali solat dengan harapan agar Allah SWT lembutkan hati mereka untuk pulang ke pangkuan keluarga.

“Nenek selalu ceritakan kisah mereka. Dia kata mak rajin, manakala ayah pula suka membantu rakannya ketika waktu muda.

“Namun, timbul sedikit masalah keluarga. Pada mulanya ayah meninggalkan kami diikuti dengan ibu yang memberi alasan mahu pergi mencari kerja,” katanya.

Sementara itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ibu bapanya itu agar dapat menghubungi bapa saudaranya, Mohd Sukri Abd Aziz di talian 017-9868311.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 4:13 PM