FOTO Hiasan
Nor Azura Abdul Jalil


DUA lelaki menarik nafas lega kerana terlepas daripada hukuman gantung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini atas dituduh membunuh seorang pemilik syarikat peminjam wang, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak melepas dan membebaskan D Manivannan, 46, dan K Ramkumar, 27, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Terdahulu, dalam keputusannya, Mohd Sofian berkata, keterangan oleh saksi ketiga tidak membantu pihak pendakwaan kerana tidak dapat mengecam suspek.

“Keterangan oleh seorang saksi yang dikenali sebagai Hisyam hanya mengecam tertuduh berdasarkan rakaman kamera litar tertutup yang ditunjukkan kepadanya ketika siasatan dilakukan oleh pegawai penyiasat.

“Hisyam tidak berada di tempat kejadian malahan dia hanya seorang pekerja di sebuah restoran yang terletak berhampiran tempat berkenaan,” katanya.

Mohd Sofian berkata, keterangan pihak pendakwaan amat lemah untuk mengaitkan kedua-dua tertuduh sebagai penembak dalam kejadian itu.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa membunuh V Kandasamy, 44, di Jalan Taman Ibu Kota Setapak, Wangsa Maju pada 3.55 petang, 27 Julai 2016.

Bagi pertuduhan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Asyikin Mokhtar manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Hariharan Tara Singh.

Sepanjang perbicaraan yang bermula 23 Januari 2018, pihak pendakwaan telah memanggil sembilan saksi untuk memberi keterangan.

Media sebelum ini melaporkan, dua lelaki membonceng motosikal dan memakai topi keledar bertutup penuh melepaskan 16 das tembakan ke arah mangsa ketika kereta dipandunya berhenti di lampu isyarat berhampiran pusat beli-belah Setapak Mall.

Sebanyak 10 daripada tembakan itu mengenai kepala, badan dan peha mangsa, menyebabkannya maut di tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 4:20 PM