Sekolah di Nilai yang terbabit dalam kes pelajarnya diserang histeria. FOTO Hasriyasyah Sabudin


DUA puluh pelajar sebuah sekolah di Nilai diserang histeria 7.30 pagi tadi.

Pelajar tingkatan tiga yang enggan dikenali berkata, pada mulanya hanya seorang pelajar perempuan histeria di kawasan tandas sebelum merebak ke pelajar lain.

“Kejadian berlaku ketika pelajar mahu ke tempat perhimpunan sebelum seorang pelajar perempuan secara tiba-tiba histeria. Dia menjerit dan menangis di kawasan berdekatan tandas.

“Beberapa pelajar lain yang berada di kawasan tandas itu mula meraung dan menangis seterusnya berjangkit ke pelajar lain. Ketika itu pelajar mahu mulakan sesi perhimpunan pagi,” katanya ketika ditemui di hadapan sekolah.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, 20 pelajar perempuan dikenalpasti diserang histeria di kawasan sekitar sekolah berkenaan.

“Berikutan kes histeria di sekolah itu, JPNS mengambil tindakan awal dengan memantau kejadian itu bersama pihak sekolah dengan mengasingkan pelajar terbabit di surau manakala murid lain dikumpulkan di dewan sekolah untuk membaca surah Yasin.

“Langkah pencegahan dibuat dengan memanggil ustaz dari Masjid Kuarters KLIA untuk membantu memulihkan murid selain ibu bapa dihubungi bagi membawa pulang pelajar yang terkena histeria. “Bagaimanapun, keadaan kembali tenang 11.39 pagi dan proses pembelajaran berjalan semula.

“Pelajar sesi petang juga diminta membaca surah Yasin dan solat Zuhur berjemaah sebelum sesi pembelajaran bermula.

“JPNS, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Seremban dan sekolah akan memantau kes ini supaya kejadian sama tidak berulang lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 4:42 PM