PENDUDUK berkumpul di Taman Rimba Kiara ketika bantahan terhadap projek pembangunan yang dirancang di kawasan itu, tahun lalu. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

AHLI Parlimen Segambut Hannah Yeoh hari ini menggesa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu Latheefa Koya supaya mempercepatkan siasatan terhadap isu Taman Rimba Kiara.

“Saya harap SPRM akan mengkaji semua laporan yang telah dibuat setakat ini dan laporan terbaru dibuat minggu lalu kerana kita perlukan SPRM mengeluarkan keputusan siasatannya dengan cepat dan memberikan kita maklum balas dan penemuan-penemuan mereka.

“Saya sudah pergi semula ke SPRM pada 17 Jun untuk bertanya perkembangan (kes) Taman Rimba Kiara dan kerana ada janji temu, disebabkan terdapat beberapa laporan berkaitan kes itu yang dibuat sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pemerintahan negara,” katanya pada sidang media di Pusat Komuniti TTDI di Kuala Lumpur, hari ini.

Yeoh yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, beliau mendapat sokongan daripada tujuh Ahli Parlimen Kuala Lumpur yang lain mengenai dua cadangan penyelesaian.

“Saya juga menerima sokongan daripada tujuh Ahli Parlimen KL yang lain dan mereka menyokong dua cadangan penyelesaiannya. Cadangan penyelesaian pertama ialah membatalkan perintah yang telah diberikan atau yang kedua, jika anda mahu terus memberi mereka kebenaran untuk melaksanakan pembinaan, mereka perlu membina dalam lingkungan keluasan tapak rumah panjang sedia ada iaitu seluas 1.78 hektar dan tidak lebih daripada itu,” katanya.

Yeoh berkata, Kabinet belum membuat apa-apa keputusan berkenaan status Taman Rimba Kiara kerana ia turut membabitkan beberapa kementerian lain dan ia mengambil masa untuk mendapatkan input yang diperlukan.

Selepas mendapat bantahan daripada penduduk dan pihak yang berkepentingan, pemaju projek bersetuju untuk mengecilkan skala projek dan jumlah serta saiz blok apartmen, dengan projek mengambil keluasan 3.2 hektar, berbanding keluasan asalnya 4.9 hektar.

Juga, blok apartmen 350 unit yang disediakan untuk penghuni rumah panjang Bukit Kiara akan kekal menjadi sebahagian daripada projek itu.

Bagaimanapun, projek berkenaan terus menerima kritikan dan protes daripada persatuan penduduk dan kumpulan-kumpulan berkepentingan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 4:42 PM