SANIM reda terpaksa ke Tanah Suci seorang diri memandangkan isterinya kini bergelut dengan barah ovari tahap empat. FOTO Mohamad Hussin.
Mohamad Hussin


“SAYA akan berdoa di depan Kaabah nanti semoga isteri, Rafidah Sudin, 62, cepat sembuh daripada penyakit barah ovari tahap empat.

“Isteri sepatutnya pergi haji bersama saya, tetapi terpaksa bertarung nyawa melawan penyakitnya,” kata Sanim Ahmad, 63, yang berasal dari Kota Tinggi, Johor.

Pesara Jabatan Warisan Negara itu yang kini menetap di Cheras, Kuala Lumpur mula mendaftar dengan Lembaga Tabung Haji (TH) sejak 1990, namun dua kali menolak tawaran haji kerana masalah kesihatan isterinya.

Katanya, selepas dua kali menolak tawaran, akhirnya pada November tahun lalu dia menerima tawaran kali ketiga daripada TH.

“Selepas berbincang dengan isteri dan keluarga, saya mengambil keputusan untuk pergi haji tahun ini seorang diri.

“Memang berat hati ini meninggalkan isteri, namun bagi menjaga kesihatannya, saya terpaksa akur dengan nasihat doktor,” katanya yang ditemui di Kompleks TH di Sepang, hari ini.

Sanim antara 479 jemaah terpilih menjadi tetamu Allah sempena Musim Haji 1440H/2019M.

Mereka berlepas menerusi penerbangan KT35B (XY5688) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 3.15 petang hari ini dan dijangka tiba di Jeddah 6 petang (waktu Arab Saudi).

Menurutnya, Rafidah disahkan menghidap barah ovari sejak 2013 dan kerap keluar masuk hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Kini, isteri sudah menjalani lebih 40 kali kemoterapi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) akibat penyakit itu.

“Luluh hati saya mengenangkan nasibnya...saya reda dan tawakal kepada Allah SWT semoga dia cepat sembuh.

“Isteri hendak sangat menunaikan fardu haji namun keadaan kesihatannya tidak mengizinkan. Saya minta dia bersabar dengan ujian ini dan berserah kepada Yang Maha Esa,” katanya yang mempunyai dua cahaya mata.

Sanim berkata, dia sudah membuat persediaan mental dan fizikal termasuk mengikuti 17 siri kursus haji bagi menambah ilmu agama dan pengetahuan.

“Dulu saya membuat potongan gaji sejak mula bekerja sebanyak RM10 hingga RM50 sebulan bagi menyimpan dalam TH.

“Alhamdulillah, selepas simpanan mencukupi memang sudah rezeki saya pergi ke Tanah Suci,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 5:20 PM