WEE meninggal dunia di HSNZ, Kuala Terengganu pada 19 Julai lalu akibat barah paru-paru. FOTO ihsan Penjara Marang.
Ahmad Rabiul Zulkifli


PIHAK Penjara Marang meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan waris kepada seorang banduan yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu pada 19 Julai lalu.

Wee Joo Hin, 57, yang berasal dari Bandar Melaka, Melaka disahkan meninggal dunia kerana penyakit barah paru-paru.

Wee yang beragama Kristian itu menjalani hukuman penjara di Penjara Marang sejak 2015 dan mempunyai waris iaitu ibunya, Lee Leng Mooi.

Pengarahnya, Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Ab Latiff berkata, pihaknya meminta sesiapa yang mengetahui atau mengenali waris si mati menghubungi pihaknya untuk menguruskan proses tuntutan.

“Kami ada menghubungi waris melalui nombor telefon bimbitnya sebelum ini, tetapi gagal.

“Saya meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi kami di talian 09-8320211 atau 09-8320262,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 5:35 PM