FOTO Hiasan
Suhaila Shahrul Annuar


BAPA dihukum penjara 45 tahun dan 24 sebatan selepas mengaku bersalah atas 38 pertuduhan cabul, seks luar tabii dan percubaan merogol anak kandungnya berusia 14 tahun.

Hakim Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak di Putrajaya, Yong Zarida Sazali menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang juga penjual burger berusia 35 tahun itu.

Hukuman penjara itu diperintah dijalankan bermula dari tarikh tangkapan iaitu 12 Julai lalu.

Dalam keputusannya, Yong Zarida turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling selama 10 tahun dan tiga tahun pengawasan polis selepas selesai hukuman penjara kelak.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu melakukan kesemua perbuatan berkenaan ke atas anak sulungnya sejak mangsa berusia 12 tahun.

Dia didakwa atas 26 pertuduhan kerana mencabul, empat pertuduhan cubaan merogol dan lapan pertuduhan seks luar tabii terhadap mangsa.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan antara Julai 2017 sehingga Julai lalu.

Bagi tuduhan cabul, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

Untuk tuduhan seks luar tabii mengikut Seksyen 377C dan Seksyen 377CA Kanun Keseksaan.

Sementara, pertuduhan cubaan merogol mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Norazalina Razali memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh kerana memecah amanah sebagai bapa.

"Selain itu, mangsa juga terpaksa bergelut untuk mempertahankan diri daripada dirogol bapanya sehingga beberapa kali mengambil tindakan untuk membunuh diri dengan mengelar pergelangan tangannya sendiri," katanya.

Beliau berkata, keinsafan yang dinyatakan tertuduh tidak wajar dipertimbangkan mahkamah kerana pada Oktober 2018, mangsa mengadu kepada ibunya mengenai tindakan bapanya.

Tertuduh kemudian berjanji tidak mengulangi kesalahan itu, namun tetap mengulanginya sehingga Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 7:01 PM