LAPORAN portal Harian Metro mengenai seorang guru di sebuah sekolah menengah di Bachok, Sabtu lalu, diserang dua lelaki.
Nor Amalina Alias


DUA beradik yang didakwa menyerang seorang guru di sebuah sekolah menengah di Bachok, Sabtu lalu, ditahan polis 5.15 petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, suspek berusia 42 dan 30 tahun ditahan ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok, hari ini.

“Suspek datang ke IPD Bachok dan tangkapan dibuat berkait siasatan kes yang berlaku di SMK Sri Gunong, Bachok.

“Kedua suspek akan dipohon tahanan reman pada 23 Julai 2019 bagi membantu siasatan lanjut kes ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan polis sedang mengesan dua lelaki yang didakwa

menyerang guru itu, kelmarin.

Mangsa berusia 52 tahun yang juga guru di sekolah terbabit membuat laporan polis di IPD Bachok tengah malam tadi.

Terdahulu, satu video seorang lelaki yang memarahi seorang guru mula tular di Facebook dan aplikasi WhatsApp, sejak malam tadi.

Video berdurasi tiga minit dan 31 saat itu memaparkan seorang lelaki memarahi seorang guru yang didakwa mengeluarkan kata kurang enak kepada isterinya.

Individu itu dikatakan saudara kepada pelajar sekolah terbabit yang sudah dikenakan tindakan gantung sekolah.

Lelaki itu mendakwa tidak mendapat surat berhubung perkara itu daripada pihak sekolah.

Namun, guru itu memaklumkan sudah memberi surat berkenaan kepada pelajarnya.

Lelaki itu juga mengeluarkan kata kurang sopan kepada guru lelaki itu.

Berita berkaitan:

  • Polis cari dua beradik serang guru
  • Serang cikgu sebab salah faham
  • Apahal serang cikgu?
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 7:28 PM