Rizanizam Abdul Hamid


MINI Cooper menjadi antara 87 kenderaan yang disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri untuk lelongan kepada orang ramai di JPJ Bukit Katil, Melaka, 15 Ogos ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, proses lelongan itu akan bermula 9.30 pagi membabitkan 84 kereta, dua van dan sebuah lori.

Menurutnya antara kenderaan dilelong adalah sebuah Mini Cooper tahun 2005 sebagai kenderaan yang tidak boleh daftar (scrap) pada harga bidaan bermula RM4,500.

“Semua kenderaan yang akan dilelong ini disita sejak tahun 2014 sama ada ketika operasi JPJ, pemilik menyerah diri atau ditahan ketika di jalan raya.

“Bagaimanapun daripada 87 kenderaan yang akan dilelong termasuk 79 kenderaan klon, enam dikategorikan sebagai scrap termasuk sebuah Mini Cooper.

“Antara kenderaan diminati adalah BMW, Subaru Impreza, Honda Stream, Honda Jazz, Honda Stream, Honda Accord dan Toyota Wish,” katanya di Pejabat JPJ negeri di Bukit Katil, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Firdaus berkata, harga rizab paling rendah bagi kenderaan yang boleh didaftarkan adalah Proton Saga tahun 1998 pada harga RM450 manakala paling tinggi adalah Honda Accord tahun 2005 berharga RM19,500.

“Bagi kenderaan ‘scrap’ pula, harga rizab paling rendah adalah RM300 untuk sebuah Perodua Kancil dan Honda Odyssey pada harga RM12,000.

“Nilai bidaan minimum bagi setiap kenderaan adalah RM100 dan pembida yang berminat untuk membida kenderaan ini perlu membeli naskah dokumen lelongan dari kami dengan harga RM100,” katanya.

Tambah beliau, tarikh akhir jualan dokumen lelong yang hanya boleh dibeli secara tunai adalah sehingga 4 petang 13 Ogos dan semua kenderaan akan dipamerkan untuk pemeriksaan awam pada 8 dan 9 Ogos bermula jam 9 pagi hingga 4 petang.

“Pembida yang berminat boleh membawa salinan kad pengenalan dan dikehendaki membayar deposit sebanyak RM2,000 secara tunai sewaktu pendeftaran.

“Wang terbabit akan dikembalikan sekiranya bidaan tidak berjaya tetapi akan ditolak daripada nilai bidaan sekiranya berjaya membuat bidaan,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 8:43 PM
MINI Cooper (kanan) antara 87 kenderaan yang disita JPJ negeri untuk lelongan kepada orang ramai, 15 Ogos ini. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber