ARKIB NSTP
BERNAMA

PELAJAR perempuan tingkatan empat mahu mengharumkan nama negara dengan memenuhi matlamat menjadi belia termuda Asia Tenggara mendaki Gunung Elbrus di Rusia.

Gunung itu adalah puncak tertinggi di benua Eropah.

Sara Sofea Muhammad Illaham, 16, pelajar Sekolah Menengah Sains (SMS) Kuala Selangor terpilih menyertai ekspedisi kelolaan Kelab Jelajah Alpine Malaysia dengan kerjasama Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan yang dijadual bermula pada 9 Ogos.

Pengarah bahagian berkenaan, Zainal Abas dalam satu kenyataan berkata, ekspedisi dijangka memakan masa sembilan hari, bergantung kepada keadaan cuaca di gunung itu.

Menurutnya, Sara Sofea yang berasal dari Subang, Selangor, akan diiringi lima lagi pendaki sokongan dalam usaha menawan puncak Elbrus setinggi 5,642 meter.

“Pendakian ke Elbrus yang tersenarai antara tujuh puncak tertinggi di dunia, dirangka sebagai pengisian Misi Ekspedisi Belia Merdeka 2020,” kata Zainal sambil menambah ia juga menjadi misi mengibarkan Jalur Gemilang bersempena Hari Kebangsaan 2019.

Ia juga bertujuan mengumpul dana untuk misi antarabangsa ‘Climb for Peace’ yang menjadi misi kemanusiaan membina perigi dan bantuan kepada mangsa peperangan di bawah kelolaan Aman Palestin.

“Saya berharap keadaan cuaca di gunung itu nanti akan menyebelahi saya dan saya mengharapkan seluruh rakyat Malaysia mendoakan kejayaan saya ke puncak Elbrus,” kata Sara Sofea dalam kenyataan itu.

Beliau yakin latihan yang dilalui selama lebih dua tahun di bawah tunjuk ajar dua jurulatih berpengalaman akan membolehkannya menawan puncak Elbrus.

Gunung Elbrus yang terletak di Banjaran Caucasus, selatan Rusia dan bersempadan dengan wilayah Georgia adalah gunung berapi tidak aktif.

Ia menjadi tumpuan pendaki yang mahu mencipta rekod pendakian di tujuh puncak tertinggi di tujuh benua dunia yang dikenali sebagai “Seven Summits”.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 9:05 AM