Rosman Shamsudin


JURUJUAL lelaki diperdaya wanita dikenalinya menerusi Facebook (FB) hingga kerugian lebih RM20,000.

Mangsa mahu dikenali sebagai Chris, 37, dari Tanjung Malim mendakwa mengenali wanita menggunakan nama Michelle, 27, berasal dari Sabah menerusi FB sejak pertengahan Januari lalu.

Katanya, selepas lima hari berkenalan, wanita itu memberitahu ada masalah kewangan dan meminta bantuan RM500, malah dia menurutinya tanpa curiga apa-apa.

Bagaimanapun, wanita itu kerap meminta bantuan sehingga kali terakhir dia melakukan pindahan wang sebanyak RM4,000 pada pertengahan Jun lalu.

“Dia memaklumkan wang itu akan digunakan untuk pelaburan dalam perniagaan dan jumlah keseluruhan diberi kepadanya cecah RM20,254.

“Selepas itu dia terus menghilangkan diri dan tidak dapat dihubungi lagi sama ada di FB atau telefon,” katanya, hari ini.

Katanya, sebelum ini Michelle mendakwa terpaksa berhenti belajar dalam bidang perubatan disebabkan kesempitan wang dan bekerja sebagai jurujual telefon.

Merasa ditipu, Chris membuat laporan polis kelmarin di Balai Polis Tanjung Malim kerana mengesyaki ditipu.

“Saya cuba mencarinya di FB dan mendapati dia sudah menukar identitinya. Saya nasihatkan orang ramai supaya hati-hati dan tidak terpedaya dengan janji manis wanita itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof mengesahkan menerima laporan kes itu dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 9:27 AM