Aminolhuda (dua dari kanan) bersama Mohd Khuzzan (kiri) dan Dr Sellahudeen (dua dari kiri) melihat keadaan kelas yang terdapat najis burung merpati ketika melawat SK Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang. Foto Hairul Anuar Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein


NAJIS burung merpati dan hama dipercayai antara punca murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort di Pasir Gudang masih mengalami simptom sesak nafas dan muntah.

Itu antara hasil diperoleh daripada pemantauan dan lawatan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri Mohd Khuzzan Abu Bakar serta Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri Aminolhuda Hassan ke sekolah itu, hari ini.

Mohd Khuzzan yang melawat sekolah itu bersama Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) Dr Selahuddeen Abd Aziz berkata, mereka yang melihat keadaan itu tidak menolak kemungkinan ia antara faktor pencemaran bau sehingga menyebabkan murid mengalami loya dan muntah.

“Kita ke sekolah ini hari ini kerana sejak beberapa hari lalu, murid yang terjejas dengan masalah gangguan kesihatan di Pasir Gudang majoritinya dari sekolah ini.

“Khamis lalu, seramai 12 murid sekolah ini dilaporkan terjejas dan Ahad, dua lagi dilaporkan mengalami simptom sama. Mereka adalah murid yang sama dan kes ini berulang.

“Hari ini kita lihat, semua murid menjalani pembelajaran seperti biasa tetapi rupa-rupanya di tingkat empat sebuah blok sekolah ini, berdepan masalah pencemaran najis burung merpati dan hama.

“Saudara saudari (pengamal media) pun tadi dah berada di dalam kelas itu dan lihat sendiri bagaimana keadaannya,” katanya ketika sidang media selepas mengadakan lawatan ke sekolah itu, hari ini.

Mohd Khuzzan berkata, masalah itu perlu ditangani segera.

“Kita tidak kata inilah punca kepada isu yang kita hadapi tetapi mungkin antara faktornya dan kita harap masalah ini dapat ditangani segera.

“Kelas di tingkat tiga dan empat blok itu sebelum ini memang dikosongkan ketika arahan dikeluarkan susulan insiden masalah gangguan kesihatan, namun ia dibuka semula selepas pemantauan kualiti udara menunjukkan bacaan baik.

“Apa yang penting adalah kita perlu pastikan kebersihan kelas di tingkat empat blok berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Aminolhuda berkata, buat masa sekarang, semua kelas yang terjejas dengan najis burung itu akan dikosongkan dan murid perlu menggunakan kelas lain sementara kerja pembaikan bumbung dan pembersihan dijalankan.

“Najis burung ini berlaku sebab ada banyak laluan burung di bumbung berkenaan. Lihat jumlah najisnya kita tahu ia isu yang sudah lama berlaku.

“Saya dimaklumkan Kementerian Pendidikan akan melakukan kerja pembersihan dan pembaikan segera.

“Jadi, kerja untuk menutup ruang yang membolehkan burung ini masuk ke kawasan kelas akan dibuat terlebih dahulu,” katanya.

Pada masa sama, Guru Besar SK Tanjung Puteri Resort Padzlan Monthel berkata, pihak sekolah sentiasa membersihkan sembilan kelas di aras itu yang terjejas dengan najis burung dengan dua yang paling teruk, namun masalah sama masih berulang.

“Kita bersihkan pun, nanti burung ini datang lagi. Sudah lebih lima tahun isu ini berlarutan. Alhamdulillah, saya diberitahu kementerian akan memulakan kerja pembaikan bumbung dan berharap isu ini akan diselesaikan segera,” katanya.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 12:18 PM