DR Mahathir tidak sanggup diperalatkan. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

PENULARAN video intim yang dikaitkan dengan seorang menteri bukan soal moral, sebaliknya adalah masalah politik, kata Tun Dr Mahathir Mohamad yang menegaskan beliau tidak sanggup diperalatkan dalam isu berkenaan.

Perdana Menteri menerusi entri terbaharu dalam blog peribadi beliau chedet.cc berkata, video berkenaan dibuat dan ditularkan jelas untuk tujuan politik khusus untuk menghalang kejayaan politik individu tertentu.

“Ini bukan soal moral. Ini adalah masalah politik. Ia akan ditangani sebagai isu politik,” tegas Dr Mahathir.

Katanya tindakan yang diharap menyusul selepas ini ialah penyingkiran individu yang disasar dan sebagai individu yang mempunyai kuasa, beliau diharap mengambil tindakan tersebut.

“Apabila saya ambil tindakan ini, maka berjayalah pihak yang merancang perbuatan jahat ini.

“Saya tidak sanggup diperalatkan. Jauh sekali oleh perancang yang berniat jahat dan mengguna politik kotor,” kata Dr Mahathir.

Perdana Menteri berkata, agama Islam melarang perbuatan sengaja mengintip untuk mencari keburukan orang, terutamanya oleh perancang yang berniat jahat dan menggunakan politik kotor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 12:58 PM