Noor Atiqah Sulaiman


JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) hari ini membuat laporan polis berkaitan isu penularan gambar sekumpulan warga asing di JPN Putrajaya, kononnya bagi mendapatkan status warganegara.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi JPN Jasri Kasim berkata, laporan dibuat untuk siasatan lanjut kerana penularan gambar itu boleh menggugat ketenteraman awam dan merosakkan keharmonian negara.

Katanya, JPN memandang serius isu berkenaan kerana dengan penularan gambar terbabit ia secara tidak langsung menyebabkan kekeliruan kepada orang awam.

“Tuduhan yang dibuat sejak akhir ini terhadap JPN adalah tidak benar dan akan merosakkan imej serta reputasi JPN.

“Gambar yang dilihat itu adalah situasi biasa yang berlaku di JPN kerana pelanggan datang ingin dapatkan pelbagai perkhidmatan.

“Namun pada hari berkenaan (19 Julai 2019), ia gambar sekumpulan pelanggan yang hadir ke JPN Putrajaya yang dibawa atas inisiatif Unit MySel, kerajaan Selangor untuk membantu orang awam dari Pulau Ketam, Selangor yang mempunyai urusan berkaitan pendaftaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, hari ini.

Jasri berkata, antara perkhidmatan dibuat pelanggan itu termasuk permohonan kad pengenalan dan kelahiran, selain tidak terhad kepada permohonan kewarganegaraan sahaja.

“JPN dimaklumkan pelanggan itu terdiri daripada warga emas dan mereka yang sukar hadir sendiri ke pejabat JPN untuk pendaftaran,” katanya sambil memaklumkan pihaknya juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Sementara itu, beliau menegaskan, permohonan kewarganegaraan Malaysia yang diterima oleh jabatan itu bukan tertumpu kepada satu-satu kaum sahaja.

“Permohonan untuk mendapatkan kewarganegaraan hanya diberi kepada mereka yang layak dan perlu mengikut syarat ditetapkan, namun perlu diingatkan penganugerahan kewarganegaraan tertakluk kepada peruntukan di bawah Undang-Undang Persekutuan.

“Penganugerahan taraf kewarganegaraan adalah anugerah tertinggi oleh kerajaan kepada warga asing dan ia tidak diberikan sewenang-wenangnya,” katanya.


JASRI (tengah) menunjukkan laporan polis dibuat susulan dakwaan warga asing menyerbu JPN untuk dapatkan status warganegara. FOTO Mohd Fadli Hamzah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 1:20 PM