Laporan portal Harian Metro mengenai penahanan Haziq sebelum ini.
Hidayatul Akmal Ahmad


BEKAS Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Santubong Haziq Abdullah, Pemimpin PKR negeri dan seorang lagi lelaki yang ditahan untuk membantu siasatan berkaitan penghasilan dan penyebaran video lucah hubungan sejenis akan dibebaskan polis petang ini.

Ketiga-tiga mereka dibebaskan dengan jaminan polis selepas perintah reman mereka berakhir pada hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed mengesahkan mengenainya.

“Seorang lagi suspek yang juga ahli perniagaan yang ditahan di Shah Alam sebelum ini pula akan tamat reman esok,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Haziq, 27, ditahan untuk kali kedua bersama lima individu lain dipercayai ahli PKR dalam serbuan besar-besaran di sekitar Lembah Klang pada 14 Julai lalu.

Dia ditahan bersama dua lagi individu berusia 25 dan 38 tahun di sebuah restoran di Kelana Jaya, Petaling Jaya kira-kira 9 malam.

Penahanan ketiga-tiga mereka dipercayai susulan daripada siasatan berhubung penghasilan dan penyebaran video lucah hubungan sejenis yang sebelum ini diakui Haziq sendiri sebagai salah seorang individu dirakam.

Video hubungan songsang yang tular di media sosial sejak 13 Jun lalu didakwa antara Haziq yang mengaitkannya dengan seorang menteri.

Pengerusi PKR negeri pula ditahan pada 16 Julai untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Berita berkaitan:

  • Isu video: Haziq ditahan kali kedua
  • PKR pecat Haziq
  • Polis masih siasat video seks
  • Dalang sebar video Haziq dikenal pasti
  • Pengerusi PKR negeri direman kes video lucah
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 3:29 PM