Haiwan ternakan dibiarkan merayau tanpa pengawasan sehingga membahayakan pengguna jalan raya. FOTO IHSAN MDPT
Noorazura Abdul Rahman


MAJLIS Daerah Padang Terap (MDPT) akan mengambil tindakan tegas menyita haiwan ternakan berkeliaran tanpa pengawasan bermula bulan depan.

Setiausahanya, Zulhusni Mohamad Rashid berkata, tindakan itu perlu berikutan berlaku peningkatan kemalangan termasuk kemalangan maut membabitkan haiwan ternakan yang tidak dipantau.

Menurutnya, selain menyita haiwan ini, pihak majlis juga boleh menyembelih atau melupuskan haiwan disita jika tidak dituntut dalam tempoh tujuh hari.

“Tiada pampasan atau ganti rugi boleh dituntut pemilik terhadap haiwan yang sudah disembelih.

“Kemalangan ini banyak membabitkan lembu dan kerbau kerana haiwan ini dibiarkan berkeliaran dan tidak dibawa balik ke kandang pada sebelah petang.

“Kami sudah memberi penerangan dan melakukan perjumpaan dengan pemilik lembu, namun keadaan masih sama,” katanya.

Katanya, pemilik haiwan ini perlu mengambil serius mengenai perkara ini dengan mengawasi haiwan ternakan mereka.

Untuk rekod, sehingga Julai tahun ini sahaja, sebanyak 15 kes kemalangan dengan tiga daripadanya adalah kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal akibat terlanggar haiwan berkeliaran.

Manakala sepanjang tahun lalu, 14 kes dicatatkan dengan satu kes membabitkan kemalangan maut direkodkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 5:58 PM