Mohd Haris (dua dari kiri) menunjukkan antara barangan yang dirampas polis termasuk ganja. FOTO Fardy Bungga
Fardy Bungga


TEMPAH ganja menerusi laman sosial Facebook sebelum dihantar menggunakan perkhidmatan pos.

Itu pendedahan pengedar dadah yang ditahan polis Ahad lalu.

Lelaki berusia 21 tahun itu ditahan di hadapan sebuah kedai di Jalan Bundusan, Penampang pada 11 pagi.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, polis yang bertindak atas maklumat dan pemantauan mengesan suspek di kawasan itu sebelum menahannya.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati suspek memegang satu sampul kertas mengandungi ketulan mampat daun kering disyaki ganja.

“Suspek kemudian membawa polis ke rumahnya di Taman Puluduk dan hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan tiga lagi paket kecil mengandungi ganja menjadikan jumlah keseluruhan rampasan 214.2 gram.

“Hasil soal siasat lanjut, suspek mengaku membeli dadah berkenaan melalui Facebook dengan bayaran pendahuluan RM2,500,” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Mohd Haris berkata, siasatan awal mendapati dadah itu diperoleh daripada lelaki tempatan berasal dari Johor dan mereka berhubung melalui Facebook serta aplikasi telegram.

Katanya, suspek turut mendedahkan dadah berkenaan untuk kegunaannya sendiri selain diedarkan jika ada permintaan.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek turut didapati positif dadah jenis ganja.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 6 akta sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 9:37 PM