Kadir Dikoh di Ankara dan Turki


TUN Dr Mahathir Mohamad yang dianggap Asia Barat sebagai pemimpin negara Islam moden dijangka diberi sambutan negara apabila memulakan lawatan rasmi empat hari ke Turki, bermula esok.

Perdana Menteri akan disambut oleh rakan sejawat, Presiden Recep Tayyip Erdogan apabila tiba di perkarangan Kompleks Istana Presiden, petang esok.

Duta Besar Malaysia ke Turki, Datuk Abd Razak Abdul Wahab, berkata asalnya ia adalah satu lawatan rasmi biasa.

“Tetapi kini, lawatan itu bagaikan dinaikkan taraf kepada lawatan negara, kerana kehadiran Tun Dr Mahathir (di Istana) akan diiringi tentera berkuda... kehormatan yang hanya diberi untuk Presiden dan Raja sesebuah negara.

“Ini adalah satu penghargaan tertinggi untuk Malaysia,” katanya kepada wartawan Malaysia di Ankara, malam tadi.

Dr Mahathir yang diiringi isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dijangka tiba di Ankara, 8 malam hari ini waktu tempatan (1 pagi waktu Malaysia).

Beliau mempunyai jadual padat untuk dua hari akan datang sebelum meneruskan lawatan ke Istanbul Jumaat ini.

Abd Razak berkata, Dr Mahathir dan Erdogan akan turut mengadakan pertemuan empat mata sebelum diikuti mesyuarat delegasi Malaysia-Turki.

Delegasi Malaysia termasuk Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darrel Leiking.

Katanya, isu pertahanan dan perdagangan dijangka menjadi tumpuan perbincangan.

Beliau berkata, isu lain yang dijangka disentuh terutama antara dua tokoh Islam itu ialah hubungan antarabangsa dan serantau selain kemungkinan turut menyentuh isu Palestine, Rohingya atau masalah keganasan.

Katanya, acara rasmi pertama Dr Mahathir pagi esok ialah meletak kalungan bunga untuk Pengasan dan Presiden pertama Turki, Mustafa Kamal Ataturk di Anitkabir.

Ini disusuli lawatan ke Turkish Aerospace Industries (TAI) iaitu kilang membuat drone dan helikopter tempur Turki.

Dr Mahathir juga dijangka menerima anugerah ijazah doktor kehormat sains politik dan pentadbiran awam dari universiti awam di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 8:39 AM