GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


TERPEDAYA dengan tawaran dijanjikan projek daripada kerajaan membina paip pembetungan di Gombak menyebabkan seorang lelaki kerugian lebih RM1.3 juta selepas ditipu kenalannya.

Menurut sumber, mangsa bergelar Datuk berusia 60-an pada mulanya ditawarkan seorang lelaki kononnya mengenali rakan bekerja di pejabat Perdana Menteri untuk memiliki kontrak projek itu sekitar Julai tahun lalu.

“Malah suspek bijak memperdaya mangsa dengan menunjukkan salinan surat kononnya daripada pejabat Perdana Menteri yang meluluskan projek berkenaan.

“Bagaimanapun, suspek memberitahu mangsa perlu memberi wang kepadanya terlebih dahulu bagi urusan mendapatkan projek berkenaan,” katanya.

Sumber berkata, tanpa mengesyaki apa-apa, syarikat milik Datuk berkenaan membuat beberapa kali pembayaran di sebuah hotel di ibu negara membabitkan nilai lebih RM1.3 juta.

“Bagaimanapun selepas wang diberikan, mereka tetap tidak dapat menjalankan projek malah mendapati tandatangan dalam surat diberikan tidak sama dengan surat sebenar daripada kerajaan.

“Mengesyaki ditipu, pekerjanya kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Chow Kit pada 18 Julai lalu untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad ketika dihubungi, hari ini, mengesahkan ada menerima laporan itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 1:30 PM