Latheefa (dua dari kiri) hadir untuk mendengar pertuduhan kes rasuah anggota JPJ dan SPAD di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth. Foto Mikail Ong
Siti Sofia Md Nasir

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya sendiri hadir mendengar pertuduhan terhadap enam kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Wilayah Utara di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di Butterworth, hari ini.

Beliau tiba kira-kira 9 pagi bersama Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki dan Pengarah SPRM negeri Datuk Wan Ramli Wan Abdullah.

Enam tertuduh itu berhadapan 63 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM73,600 antara 2015 hingga 2018.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh yang turut berdepan pertuduhan pilihan itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nizam Zakaria.

Anggota JPJ Pulau Pinang itu ialah pemeriksa kereta motor Gred 29 Ahmad Tajuddin Husin, 35; pembantu penguat kuasa Gred 19 Ahmad Daniel Magendran Abdullah, 41, dan pembantu penguat kuasa Gred 19 Najib Mohamad Tarmizi, 32.

Turut didakwa, pembantu penguat kuasa Gred 19 Hasrol Sani Abu Bakar, 39; pemeriksa kereta motor Gred 19 Muhammad Airil Teo Abdullah, 31, dan Ketua Pembantu Penguat kuasa SPAD Ahmad Alamin Don, 33.

Pada prosiding hari ini, Ahmad Tajuddin berdepan dua pertuduhan utama dan pilihan membabitkan rasuah sebanyak RM800, manakala Ahmad Daniel (36 pertuduhan utama dan pilihan dengan nilai rasuah RM51,050), dan Najib (empat pertuduhan utama dan pilihan) membabitkan nilai suapan sebanyak RM4,000.

Sementara itu, Hasrol Sani pula berdepan lima pertuduhan utama dan pilihan membabitkan nilai suapan sebanyak RM9,100, Muhammad Airil (12 pertuduhan utama dan pilihan) dengan nilai rasuah RM6,900 dan Ahmad Alamin (empat pertuduhan utama dan pilihan) dengan jumlah rasuah sebanyak RM1,700.

Mengikut pertuduhan utama, kesemua tertuduh didakwa secara rasuah menerima suapan bagi diri mereka wang tunai daripada Pengarah Syarikat Sam Lian Transport & Tyre Sdn Bhd dan TSR Transport Sdn Bhd Ooi Cheng Keat, 46, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lori milik syarikat terbabit (Sam Lian Transport &Tyre Sdn Bhd dan TSR Transport Sdn Bhd) yang mungkin melakukan kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di tiga bank di Bukit Mertajam antara Mac 2015 sehingga Jun 2018.

Semua pertuduhan utama itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pilihan, kesemua tertuduh itu didakwa memperolehi untuk diri mereka suatu benda berharga tanpa suatu balasan berupa wang tunai daripada Cheng Keat bagi tujuan membabitkan penguatkuasaan di bawah APJ 1987 terhadap lori milik syarikat terbabit.

Untuk pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Semua tertuduh diwakili peguam Datuk Naren Singh kecuali Ahmad Alamin yang kini berkhidmat sebagai anggota JPJ Perlis tidak diwakili peguam.

Nizam kemudiannya menetapkan jaminan antara RM5,000 hingga RM25,000 kepada semua tertuduh dengan syarat tambahan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Selvaranjini dan ditetapkan untuk sebutan semula pada 12 September ini.

Semalam, Latheefa dalam sidang medianya memaklumkan seramai 18 pegawai penguat kuasa akan didakwa secara berperingkat selama tiga hari bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 2:31 PM