Laporan portal Harian Metro mengenai pendakwaan terhadap Mohd Adam di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada 16 Julai lalu.
Nor Azura Abdul Jalil


BEKAS Pengarah Yayasan Bakti Negara Terengganu (YBNT) yang sebelum ini didakwa dengan 76 tuduhan menipu dalam urusan pakej umrah, didakwa lagi di Mahkamah Majistret Ampang, hari ini atas satu pertuduhan sama iaitu dengan menipu seorang jurutera.

Bagaimanapun, Mohd Adam Mohd Ghazali, 31, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Haslinda A Raof.

Mengikut pertuduhan, Mohd Adam didakwa menipu jurutera, Ahmad Shahir [email protected] Manaf, 38, untuk membuat transaksi wang pendahuluan sebanyak RM6,000 ke akaun bank milik YBNT Umrah Travel yang diuruskan olehnya bagi urusan pakej umrah tidak wujud.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan AU4/4, Taman Seri Keramat Tengah, Hulu Kelang pada 14 November 2016.

Bagi pertuduhan itu, Mohd Adam didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, denda dan sebat jika disabitkan dengan kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya S Sangitaa menawarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Kelvinder Singh Sindhu yang mewakili tertuduh memohon mahkamah memberikan jaminan RM2,000 dengan alasan Mohd Adam perlu menanggung kedua ibu bapa selain hanya bekerja sebagai pembeli peribadi.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Pada 16 dan 17 Julai lalu, Mohd Adam didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas 76 pertuduhan sehingga menyebabkan kerugian hampir RM300,000.

Sebelum ini, tertuduh dilepaskan dengan jaminan polis sementara menunggu arahan Timbalan Pendakwa Raya namun menghilangkan diri daripada pihak berkuasa.

Bagaimanapun, dia berjaya ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu di sebuah rumah di Damansara, Kuala Lumpur pada 11 Julai lalu.

Tertuduh dipercayai menyalahgunakan surat yang dikeluarkan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan menawarkan pakej umrah secara subsidi kepada guru di negeri itu.

Penipuan pakej umrah itu dikatakan menjejaskan seramai 4,800 individu termasuk guru selepas mereka membayar sebanyak RM3,000 seorang.

Berita berkaitan

Tidak mengaku tipu pakej umrah [METROTV]

Kena 50 pertuduhan lagi...

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 3:26 PM