Nur Saliawati Salberi


PENAHANAN Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan kes penyebaran video intim mirip seorang menteri baru-baru ini, adalah mengikut undang-undang dan tidak perlu dipersoalkan.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, penahanan itu dibuat oleh pasukan penyiasat dan mereka akan memanggil atau menahan individu berkaitan untuk menjalankan siasatan.

“Saya tidak melihat (penahanan) ini tidak adil. Saya tidak beri laluan sesuka hati yang mana mereka bertindak sesuka hati atau menganiaya orang jika ada itu adalah tuduhan politik.

“Perkara itu diputuskan oleh pasukan siasatan, siapa perlu dipanggil beri keterangan akan dipanggil, siapa perlu ditahan juga itu hak pegawai dan mengikut undang-undang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan penutupan Persidangan Agung Persatuan Pegawai Kanan Polis (PPKP) dan Persatuan Pegawai Rendah Polis (PPRP) Ke-90 2019 di Melaka, hari ini.


Abdul Hamid. Foto Arkib NSTP

Sementara itu, mengulas mengenai tuduhan bahawa beliau seorang penipu, Abdul Hamid berkata, itu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

“Masalah perbalahan politik sesama meraka biarlah hendak cakap apa pun, kecuali kalau menuduh saya sebagai penipu itu tidak boleh diterima.

“Pihak saya sudah membuat laporan polis baru-baru ini membabitkan dakwaan mengatakan saya sebagai penipu,” katanya.

Berita berkaitan

Pengerusi PKR negeri direman kes video lucah

Isu Video: Haziq, Pengerusi PKR dibebaskan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 4:07 PM