Ah Kai (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuatnya dan berada disampingnya (kanan) Micheal ketika sidang media di Wisma MCA, Kuala Lumpur, hari ini. Foto Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


LELAKI mendakwa mengalami kerugian RM7,700 selepas diperdaya ejen bagi mendapatkan visa pekerja di New Zealand dan Australia.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Kai, 25, berkata, dia berurusan dengan sebuah syarikat yang menguruskan visa pelancong dan pekerja pada Januari lalu.

“Pada 13 Februari saya menerima sebut harga dari ejen yang dikenali sebagai Felix Ong dan perlu membayar sebanyak RM7,700 untuk mendapatkan visa berkenaan.

“Saya bersetuju dan membayar wang pendahuluan sebanyak RM500 dan bayaran kedua sebanyak RM4,200 lagi,” katanya ketika ditemui di sidang media di Wisma MCA di Kuala Lumpur, hari ini.

Ah Kai berkata, dia kemudiannya dimaklumkan permohonan untuk mendapatkan visa berkenaan gagal pada 3 Mac lalu dan wang yang dibayar tidak akan dipulangkan.

“Ejen berkenaan memaklumkan visa pekerja di New Zealand tidak mendapat kelulusan dan memberitahu saya supaya cuba mendapatkan visa pekerja di Australia.

“Pada 16 Mac, saya dimaklumkan bahawa visa di Australia sudah lulus dan meminta saya untuk memindahkan wang sebagai RM3,000 bagi urusan pembelian tiket kapal terbang,” katanya.

Menurutnya, dia kemudiannya ke Australia untuk mendapatkan pekerjaan di sana.

“Bagaimanapun, saya ditahan oleh pihak imigresen negara itu kerana visa yang diperolehi adalah visa pelancong.

“Saya kemudiannya disiasat selama lapan jam di Lapangan Terbang Melbourne sebelum dihantar pulang,” katanya.

Menurut Ah Kai, dia merasa tertipu sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Kota Damansara pada 14 Jun lalu.

Sementara itu, Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA Datuk Seri Michael Chong berkata, pihaknya menerima tujuh aduan berhubung kes penipuan yang sama sejak tahun lalu.

“Tujuh aduan berkenaan membabitkan kerugian lebih RM1 juta iaitu bayaran bagi mendapatkan visa pekerja.

“Individu yang ingin mendapatkan visa pekerja di luar negara diminta berhati-hati dalam memilih ejen,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 4:30 PM