GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


HANYA kerana perselisihan faham dan saling ejek-mengejek, lelaki warga Sierra Leone maut dibelasah lima rakan senegaranya di hadapan sebuah hotel bajet di Bandar Puteri, Puchong, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian 1 pagi itu, mangsa berusia 31 tahun bersama rakannya 20 tahun bertengkar dengan suspek sebelum ia bertukar menjadi ganas apabila dia diserang dan dipukul mereka.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, mangsa rebah selepas diserang suspek sebelum dihantar ke sebuah hospital swasta untuk menerima rawatan, namun disahkan meninggal dunia dipercayai akibat kecederaan dalaman.

Beliau berkata, punca kematian mangsa hanya akan diketahui selepas bedah siasat pada petang ini.

“Kejadian berlaku akibat salah faham dan ejek-mengejek antara mangsa dengan suspek.

“Susulan kejadian itu, kami menahan salah seorang suspek berusia 30-an di tepi jalan Bukit Puchong, Serdang, dalam tempoh tidak sampai dua jam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismadi berkata, siasatan di lokasi kejadian tidak menemui kesan darah dan objek lain.

Beliau berkata, polis sedang memburu suspek lain bagi membantu siasatan manakala suspek yang ditahan direman seminggu sehingga Selasa depan.

Katanya, pihaknya sedang menyemak dokumen mangsa dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 4:45 PM