Zaini dan pegawainya menunjukkan syabu yang dirampas hasil serbuan di Bandar Sierra, Manggatal di Kota Kinabalu, semalam. Foto Fardy Bungga
Fardy Bungga


WANITA warga asing yang dipercayai `keldai dadah’ ditahan bersama syabu bernilai RM275,000 di sebuah rumah di Bandar Sierra, Manggatal di Kota Kinabalu, semalam.

Dalam serbuan 12 tengah malam itu, wanita berusia 32 tahun berasal dari Filipina itu ditemui berada seorang diri dan dipercayai sedang menunggu pembeli dadah berkenaan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata, serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di bahagian dapur berjaya menemui satu beg galas yang mengandungi kotak berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

“Pemeriksaan lanjut kemudiannya membawa kepada penemuan lima lagi bungkusan plastik berisi syabu dalam kereta Proton Persona di rumah suspek.

“Dua bungkusan disembunyikan di bawah tempat duduk penumpang hadapan, satu bungkusan di bawah tempat duduk pemandu, manakala dua lagi di bawah pelapik tayar di bonet kenderaan berkenaan,” katanya ketika sidang media di IPK Sabah, hari ini.

Zaini berkata, jumlah keseluruhan syabu yang dirampas dianggarkan seberat 5,947.27 gram bernilai RM275,000 berdasarkan harga pasaran semasa.

Katanya, wanita berkenaan kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Zaini memberitahu hasil siasatan, suspek mendedahkan memperoleh bekalan dadah berkenaan daripada seorang lelaki warga asing di Menggatal.

“Kita percaya dadah ini adalah untuk pasaran tempatan dan siasatan lanjut sedang dilakukan untuk mengesan pembekal dadah berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 5:06 PM