Sungai Selangor tercemar berikutan beberapa individu dilihat menumpahkan minyak diesel Ahad lalu. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Khairul Azran Hussin


KAKITANGAN Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) mengesahkan melihat beberapa individu menumpahkan minyak diesel di Sungai Selangor.

Dia yang enggan dikenali berkata, kejadian itu berlaku antara 5.30 hingga 6 petang Ahad lalu ketika dia sedang meninjau keadaan di kawasan itu.

“Saya melihat seorang individu berada dalam bot manakala dua lagi berada di atas pontun.

“Sebaik saja menyedari kehadiran saya, mereka melarikan diri,” katanya ditemui di Shah Alam hari ini.

Ditanya kenapa minyak diesel dibiarkan di pontun walaupun ia tidak digunakan, menurutnya, minyak itu adalah stok simpanan jika pontun digunakan untuk pengorekan pasir.

“Pontun ini memang tidak digunakan buat masa ini. Namun, minyak yang diletakkan di pontun ini sentiasa dijaga serta ditutup.

“Kita sentiasa berhati-hati kerana sedar jika berlaku tumpahan minyak walaupun sedikit, ia memberi kesan kepada bekalan air.

“LUAS (Lembaga Urus Air Selangor) pun selalu ingatkan berhubung isu (tumpahan minyak) ini,” katanya.

Mengulas lanjut, dia berkata, polis sudah memanggilnya memberi keterangan Isnin lalu.

“Saya adalah individu pertama yang buat laporan polis berhubung kes ini.

“Keesokannya saya sekali lagi dipanggil memberi keterangan kepada polis,” katanya.

Hari ini Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, polis sudah mengambil keterangan beberapa individu bagi membantu siasatan dakwaan mensabotaj serta mencemarkan Sungai Selangor.

Bagaimanapun, beliau berkata, buat masa ini, pihak polis belum membuat sebarang tangkapan.

Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, berkata, tiga individu yang memancing di pontun milik Two B Machineries, kontraktor KSSB dipercayai menjadi punca pencemaran minyak diesel di Sungai Selangor.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, polis akan menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pihak disyaki terbabit kes mensabotaj serta mencemarkan Sungai Selangor.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, mahu polis menyiasat tumpahan minyak diesel di kawasan Sungai Selangor yang menyebabkan penutupan empat loji rawatan air (LRA), Ahad lalu.

Berita berkaitan

Individu cemar sungai boleh kena SOSMA - KPN

Bekalan air pulih Rabu hingga Sabtu ini

Bawa keluar pontun segera

Empat loji rawatan air ditutup semula

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 5:22 PM