Zuraida bergambar bersama penerima selepas pelancaran FundMyhome- Skim Depositku hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Irwan Shafrizan Ismail


SKIM baharu bagi pembiayaan pemilikan perumahan dikenali rent to own (sewa untuk dimiliki) bakal dilancarkan kerajaan September ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, menerusi skim itu, rakyat Malaysia khususnya golongan berpendapatan bawah RM3,000 mampu memiliki kediaman mampu milik menerusi kaedah itu.

“Mereka tidak perlu bayar deposit, terus saja bayar sewa dan selepas lima tahun, kita akan semak status kewangan sama ada layak beli rumah atau sebaliknya.

“Ini ditawarkan kepada gaji bawah RM3,000 dan rumah berharga bawah RM300,000 dan menyasarkan orang muda yang mahu memiliki rumah pertama,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran FundMyHome- Skim Depositku di Putrajaya hari ini.

Zuraida berkata, kementerian serta beberapa pihak pemberi pinjaman termasuk institusi perbankan kini dalam proses akhir perbincangan berhubung pengenalan skim itu.

“Bank tempatan juga sedang di peringkat akhir mengenai skim ini dan selepas ia selesai, kita akan tawarkan kepada rakyat untuk mengambil bahagian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak bank yang akan membuat keputusan sama ada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) layak menerima pembiayaan rumah atau sebaliknya.

Katanya, penyenaraian peminjam PTPTN dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) adalah ‘Blanket Policy’ (dasar pukul rata) kerana tidak berdasarkan situasi sebenar pihak yang terbabit.

“Misalnya seseorang pekerja yang baharu keluar universiti, dia tiada pinjaman kerana belum beli kereta dan sebagainya.

“Bank boleh periksa gaji mereka dengan tiada komitmen lain sebelum meluluskan pinjaman perumahan,” katanya.

Sementara itu, Zuraida berkata, FundMyHome iaitu skim memberi peluang rakyat memiliki kediaman dengan hanya membayar 20 peratus daripada harga rumah akan diperluaskan dalam projek lain di seluruh negara.

Katanya, buat masa ini, skim itu menerima 300 permohonan sehingga kini dan 50 permohonan sudah diluluskan.

Skim FundMyHome dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad November lalu bagi membantu pembeli rumah kali pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 6:07 PM