Foto Ainul Mardhiah bersama ibu bapanya yang dirakam baru-baru ini dari London. FOTO Ihsan Ahmad Safiuddin Ahmad Razak
BERNAMA

BEBERAPA gambar Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin​ sebelum​ menjalani pembedahan membuang tumor pada bahagian mulutnya disimpan bapanya untuk ditunjukkan kepadanya bila besar supaya anaknya itu lebih menghargai usaha dan bantuan yang diberi kepadanya.

Bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak melalui catatan di laman Facebook miliknya juga mengharapkan puteri sulungnya yang kini berusia 11 bulan itu menjadi insan yang bermanfaat pada masa akan datang.

“Saya sudah padam banyak gambar Ainul yang dulu sebab tak nak ingat dan tak mahu ingat tetapi saya tinggalkan sekeping dua untuk tunjukkan kepada Ainul bila dia besar nanti agar dia lebih menghargai dan menjadi insan bermanfaat pada masa hadapan.

“Dulu ketika kami menjaganya, bila tengok ketumbuhan itu, kami rasa biasa saja. Mungkin sebab sudah terbiasa. Sekarang ini bila tengok gambar dulu, rasa macam cepat-cepat tutup balik,” tulis Ahmad Safiuddin.

Dia menzahirkan rasa sedih dan sebak apabila melihat gambar anaknya yang dulu dan sekarang serta tidak percaya Ainul berjaya mengharungi dan selamat dibedah di The Imperial College Healthcare NHS, London 10 Jun lalu.

Pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram itu berjaya direalisasi sekumpulan pakar bedah dan anestetik, diterajui Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway.

Ia turut mendapat bantuan pelatih pakar bedah Dr Nur Amalina Che Bakri yang bertanggungjawab membawa bayi itu serta ibu bapanya ke London untuk mendapatkan rawatan.

Terdahulu, dilaporkan perjalanan Ainul bersama bapa dan ibunya, Nurul Erwani Zaidi, 24, dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke London turut diiringi dua pakar bius dari hospital swasta di negara ini.

Melalui kemas kini ibu bayi itu pada Isnin di laman akaun Instagram peribadinya @_nrlerwani, menunjukkan Ainul Mardhiah masih mendapatkan rawatan susulan di hospital di London dan dilaporkan dalam keadaan baik serta menunjukkan perkembangan positif.

Baru-baru ini, media tempatan melaporkan mereka sekeluarga terpaksa menangguhkan hasrat untuk pulang ke tanah air buat sementara waktu dan perlu memastikan Ainul benar-benar sihat dan bersedia menaiki penerbangan pulang.

Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat dan doa kepada Ainul Mardhiah serta ibu bapanya.

  • Lagi berita berkaitan Ainul Mardhiah
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 9:28 PM