LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Mohd Azam Shah Yaacob


POLIS mengesan lelaki dikenali sebagai Ah Choi, 50-an bagi membantu siasatan terhadap kes lelaki parah ditetak ketika mahu mengutip wang sewa rumah di Jalan Pudu, Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, pada kejadian 5.30 petang itu, mangsa diajak oleh rakannya untuk berjumpa seorang lelaki bagi mengutip wang sewa rumah.

Katanya, mereka berjumpa lelaki itu di kawasan rumah kayu berhampiran sebuah hotel di Jalan Pudu.

“Dalam pertemuan itu terjadi pertengkaran mulut menyebabkan suspek kemudian mengambil sebilah pisau pemotong sayur dan cuba menetak mangsa serta rakannya.

“Mangsa bersama rakannya cuba melarikan diri. Namun, mangsa terjatuh di atas jalan dan ditetak beberapa kali sehingga mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, susulan kecederaan dialami, mangsa tidak sedarkan diri dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan.

Rakannya selamat kerana sempat melarikan diri.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

"Orang ramai yang melihat kejadian serta mengenali suspek diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat di talian 012-9070705 atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.

Berita berkaitan

Parah diserang ketika kutip sewa

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 11:31 PM