FOTO Hiasan
BERNAMA

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas 50 ekor ikan hiasan jenis Betta Splendens selepas didapati tidak mempunyai permit import di laluan penumpang bas Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah, Sabtu lalu.

MAQIS dalam kenyataan hari ini berkata, hasil pemeriksaan pegawainya pada 12.18 tengah malam mendapati lelaki tempatan itu membawa masuk dua bekas balang berisi ikan hiasan berkenaan.

“Bekas balang berisi ikan hiasan itu bercampur, terdapat 10 ekor dari spesis Wild Betta Imbellis (Ikan Mengkaring) dan 40 ekor dari spesis Trichopsis Vittata (Ikan Sempilai) yang tidak mempunyai dokumen seperti permit import yang dikeluarkan MAQIS.

“Perbuatan mengimport ikan ini tanpa mempunyai permit import sah (MAQIS) adalah kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta sama,” katanya.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 11:49 PM