HAZRIN (tengah) menyertai Operasi Bersepadu Bancian Pelesenan Perniagaan, semalam.
Nurul Amanina Suhaini


MAJLIS Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengeluarkan 50 notis peringatan kepada pemilik kiosk dan premis perniagaan kerana tidak mempunyai lesen dan memperbaharui lesen perniagaan.

Setiausaha MBJB, Abdul Malik Ismail berkata, tindakan itu hasil pemeriksaan ke atas 266 premis dan kiosk di dalam sebuah pusat membeli-belah di bandar raya ini dan kebanyakan pengusaha sudah menjalankan operasi perniagaan bagi tempoh yang lama.

“Sebanyak 20 peratus daripada jumlah yang diperiksa melakukan kesalahan berkenaan, selain MBJB sudah meminta pihak pengurusan Angsana Mall Johor Bahru supaya menasihatkan peniaga bagi mendapatkan lesen perniagaan daripada MBJB.

“Berdasarkan pemerhatian, ada juga peniaga yang beroperasi lebih 10 tahun tapi tiada lesen perniagaan.

“Sehubungan itu, 50 notis peringatan dikeluarkan bagi tempoh 14 hari untuk minta pengusaha memperbaharui lesen perniagaan, jika ingkar, notis sita akan dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan pada program Operasi Bersepadu Bancian Pelesenan Perniagaan di Angsana Mall Johor Bahru di sini, semalam bersama Pengarah Pelesenan MBJB, Hazrin Ahmad.

Abdul Malik berkata, tindakan penguatkuasaan boleh dikenakan mengikut Seksyen 50(1) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MBJB (2016) kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah, selain denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

“MBJB akan terus menjalankan operasi daripada semasa ke semasa dengan membuat serbuan.

“Selain daripada premis perniagaan, MBJB akan menumpukan operasi rumah kedai kerana dipercayai ramai yang tiada lesen termasuk yang menggunakan rizab awam.

“MBJB menasihatkan kepada semua pemilik premis perniagaan supaya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 6:10 AM