Yang di-Pertuan Agong mencemar duli menyantuni gelandangan dengan mengurniakan makanan kepada kanak-kanak gelandangan di Masjid Jamek Kuala Lumpur hari ini. FOTO Aswadi Alias


YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli menyantuni gelandangan di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur hari ini.

Baginda berkenan mengurniakan sumbangan pek makanan kepada golongan terbabit yang terdiri daripada pelbagai kaum dan lapisan usia.

Selesai pengurniaan sumbangan, Baginda mengambil kesempatan meninjau kaunter informasi dan kawasan pancuran air di masjid ikonik itu.

Sebelum berangkat pulang, Baginda menunaikan solat Zuhur berjemaah diimamkan Ketua Imam masjid berkenaan, Ustaz Yahya Mahyuddin Utoh Said.

Hadir sama Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Mohamad Nordin Ibrahim serta Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Mohd Ajib Ismail.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Datuk Abdul Aziz Jusoh dan

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Restoran Ali Maju Datuk Jawahar Ali.

Dalam pada itu, Mohd Ajib berkata, program membabitkan 250 gelandangan itu adalah hasil kerjasama antara JAWI dan MAIWP bersama rakan strategik rangkaian Restoran Ali Maju.

Menurutnya, pek makanan kepada golongan itu mengandungi nasi bersama buah, air kotak dan biskut, bernilai RM35 setiap satu.

“Yang di-Pertuan Agong berkenan berangkat bersama kita apabila mendengar JAWI dan MAIWP menyantuni gelandangan.

“Kita bersyukur kerana Yang di-Pertuan Agong secara tidak formal datang untuk solat dan secara santai menyantuni gelandangan,” katanya.

Beliau berkata, sebelum berangkat pulang Baginda menzahirkan rasa puas hati dengan program berkenaan.

“Tuanku menyatakan berpuas hati dengan program itu dan berasa seronok kerana kita menyantuni gelandangan.

“Tuanku juga berpuas hati dengan konsep masjid ini, dikategorikan sebagai masjid pelancongan,” katanya.

Justeru katanya, insya-Allah program seperti itu akan diteruskan lagi bersama dengan Istana Negara pada masa depan.

“Program ini baik kerana di peringkat Baitulmal juga setiap hari kita memberi makanan kepada gelandangan membabitkan 1,100 pek di tempat tertentu.

“Di peringkat JAWI juga melalui masjid, kita ada 88 masjid melalui gerobok rezeki menyantuni juga gelandangan dalam konteks pemberian makanan siap masak atau makanan kering,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mahu menjadikan masjid terbabit berkonsep rahmah bagi menyantuni semua tidak kira Muslim mahupun bukan Muslim.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 4:30 PM