PENGUAT Kuasa DBKL meroboh bilik yang disyaki digunakan bagi aktiviti pelacuran di Jalan Tun Tan Siew Sin, Kuala Lumpur. FOTO ihsan DBKL
Khairul Najib Asarulah Khan


EMPAT premis di Jalan Tun Tan Siew Sin, yang menjadi lokasi aktiviti pelacuran khas bagi warga asing digempur Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sabtu lalu.

Serbuan terbabit dijalankan selepas Harian Metro membuat pendedahan mengenai kegiatan itu pada 17 Julai lalu.

Menerusi Facebook DBKL memaklumkan, serbuan itu dijalankan bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan polis.

Jurucakapnya memaklumkan, serbuan dijalankan di sekitar Jalan Tun Tan Siew Sin, Jalan Lebuh Pudu, Jalan Tun Tan Cheng Lock, Jalan Tun H S Lee dan Jalan Hang Kasturi.

“Semasa serbuan di Tun Tan Siew Sin, kami mendapati empat premis sudah diubahsuai kepada 60 bilik yang disyaki bagi menjalankan aktiviti tidak bermoral.

“Kegiatan pelacuran itu dipercayai ditawarkan kepada warga asing terutama semasa hujung minggu atau cuti umum.

“Sehubungan itu, penguat kuasa DBKL memecahkan semua bilik terbabit yang dibuat menggunakan papan lapis,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut merampas komputer riba, unit pemprosesan komputer (CPU), kondom, monitor kamera litar tertutup (CCTV), televisyen dan lain-lain.

Katanya, semua barangan disita itu dihantar ke Setor Sitaan DBKL untuk didokumentasikan.

“Selain itu, kami turut meroboh papan tanda iklan tanpa kebenaran serta pembinaan struktur tanpa kebenaran di beberapa premis lain.

“Tindakan diambil mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

“Operasi bersepadu ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mengekang dan membendung kesalahan di bawah peraturan DBKL,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 6:01 PM