GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


WANITA berdepan detik mencemaskan selepas dicabul lelaki ketika dia meletakkan kereta di kawasan Planetarium Negara, Kuala Lumpur kelmarin.

Dalam kejadian 6.30 pagi itu, mangsa berusia 24 tahun sedang mengemas kenderaan sebelum lelaki yang menunggang motosikal menghampirinya.

Menurut sumber, lelaki itu kemudian terus masuk ke dalam kereta kononnya mahu berbual dengan mangsa.

“Bagaimanapun tiba-tiba dia terus mencabul wanita itu.

“Terkejut dengan tindakan lelaki itu mangsa memarahinya dan ingin menghubungi polis menyebabkan lelaki itu beredar,” katanya.

Bimbang kejadian sama berulang mangsa membuat laporan di Balai Polis Tun HS Lee.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Asisten Komisioner Choo Lily ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 7:05 PM