TUN Dr Mahathir dan Erdogan ketika lawatan rasmi beliau ke Turki. FOTO Bernama


TIGA negara Islam - Malaysia, Turki dan Pakistan akan mencari jalan untuk mengembalikan kekuatan serta membina semula tamadun Islam sejagat supaya tidak lagi mudah diperlekehkan oleh sesiapa.

Perkara ini dinyatakan senada oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dalam sidang media bersama di Ankara, Turki hari ini.

Dr Mahathir berkata, memang mudah untuk membuat sebarang kenyataan seperti itu tetapi yang penting ialah melihat hasilnya.

“Negara-negara Islam mesti bersatu, bekerjasama rapat termasuk dari segi ketenteraan.

“Itu sebab (ada) mesyuarat tiga pihak (Malaysia, Turki dan Pakistan) bagi mencari jalan bekerjasama rapat,” katanya.

Sebelum itu, dua tokoh pemimpin negara Islam berkenaan mengadakan pertemuan empat mata, diikuti mesyuarat delegasi Malaysia-Turki di Kompleks Presiden di Ankara.

Di Jeddah Mei lalu, Menteri Luar Malaysia, Turki dan Pakistan mengadakan mesyuarat tiga pihak, antara lain turut berusaha mereformasi OIC menjadikannya lebih efektif.

Dr Mahathir percaya kerjasama Malaysia dan Turki juga mampu mengurangkan sikap prejudis terhadap masyarakat Islam di seluruh dunia.

Beliau juga mahu supaya dikenal pasti sebab negara dan orang Islam lemah, supaya jalan penyelesaian ditemui.

“Seperti juga keganasan, kita perlu kenal pasti apa puncanya. Kami berpengalaman memerangi keganasan di Malaysia, bukan dengan kaedah ketenteraan, sebaliknya memenangi hati dan pemikiran komunis, yang akhirnya menyokong kita,” katanya.

Erdogan pula berkata, amat perlu bagi tiga negara terbabit mencapai sesuatu persetujuan dengan fokus kepada perpaduan ummah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 8:43 AM