SULAIMAN didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 17 tahun, April lalu. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
Siti A’isyah Sukaimi


BEKAS peserta Raja Lawak musim kelima mengaku tidak bersalah di Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak, Putrajaya, hari ini terhadap dua tuduhan melakukan amang seksual ke atas remaja perempuan, 6 April lalu.

Tertuduh, Sulaiman Ibrahim, 38, yang dikenali Leman Raja Lawak membuat pengakuan itu dan memohon dibicarakan di hadapan Hakim Yong Zarida Sazali.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas remaja berusia 17 tahun dengan memegang tangannya dalam kereta Perodua Myvi di Puchong, Selangor pada 3.30 petang, 6 April 2019.

Bagi pertuduhan kedua, Leman didakwa melakukan perbuatan sama dengan memeluk dan memegang dada remaja di sebuah rumah di Seri Kembangan pada 4 petang 6 April 2019.

Untuk itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 bagi kedua-dua pertuduhan, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaan Raya Norazalina Razali, manakala tertuduh diwakili peguam Muaz Zafar.

Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan dan memohon tertuduh dikenakan syarat ketat jika jaminan dipertimbangkan mahkamah.

Namun, Muaz memohon anak guamnya diberi jaminan minimum mengambil kira tanggungannya iaitu isteri sarat mengandung dan anak selain pendapatan tidak tetap.

Yong Zarida kemudian menetapkan jaminan RM8,000 kepada tertuduh dengan seorang penjamin dan syarat tambahan iaitu dilarang mengganggu, mendekati atau menghubungi mangsa mahupun keluarganya.

Selain itu, tertuduh juga perlu melapor diri di balai polis pada setiap bulan dan 27 Ogos depan ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Pada Rabu lalu, pelawak itu didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, atas dua tuduhan mencabul kehormatan pekerja wanitanya dengan kejadian berlaku pada November lalu.

Berita berkaitan

Leman Raja Lawak didakwa mencabul

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 11:45 AM