SELEPAS kehadiran sepasang paus pembunuh di kawasan perairan Kerteh, sekumpulan paus pilot sirip pendek pula ditemui berenang berhampiran Pulau Perhentian dekat Jertih, kelmarin.

Ketua Cawangan Mamalia Marin, Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang Jabatan Perikanan Malaysia Mohd Tamimi Ali Ahmad mengesahkan sekumpulan populasi mamalia marin itu menjadikan Laut China Selatan sebagai laluan migrasi mereka.

Menurutnya, kemunculan paus terbabit dirakam sekumpulan pemancing yang memaklumkan saiz mamalia marin itu sangat besar dan banyak.

“Saya percaya paus itu adalah spesies pilot sirip pendek atau nama saintifiknya, Globicephala macrorhynchus kerana kebiasaannya spesies ini memang sentiasa bergerak dalam bilangan antara 10 hingga 50 ekor.

“Antara saiz paus yang dianggarkan bagi kumpulan ini adalah tiga hingga tujuh meter dengan anggaran berat 1,000 hingga 3,000 kilogram bagi dewasa, manakala seberat 60 hingga 500 kilogram dan panjang antara satu hingga tujuh meter bagi anak,” katanya di Dungun, hari ini.

Mohd Tamimi berkata, jangka hayat paus berkenaan dianggarkan boleh mencapai antara 40 hingga 45 tahun serta usia kematangan paus antara 10 hingga 20 tahun.

“Paus ini juga mengambil masa kandungan sehingga 15 bulan dengan saiz anak baru lahir antara satu hingga 1.9 meter panjang dan berat 60 kilogram.

“Kebiasaannya anak akan berpisah dengan ibu sehingga mencapai umur dua tahun,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan rekod tidak pernah spesies paus berkenaan melalui perairan Terengganu dan kehadiran kumpulan paus terbabit adalah rekod pertama yang dicatatkan di sini.

“Kali terakhir paus jenis ini dilaporkan terdampar mati di Sarawak pada 2013 serta di Labuan, Sabah pada 2015.

“Paus pilot sirip pendek tersenarai dalam jadual mamalia marin dan antara satu spesies marin terancam di Malaysia,” katanya.

Menurutnya, paus ini adalah pemangsa dalam rantaian pemakanan di ekosistem lautan dan ia adalah haiwan karnivor yang biasanya memburu dan memakan ikan, sotong, penyu dan burung laut.

“Ia juga gemar memakan sampah sarap dan plastik yang bertebaran di lautan kerana terdapat beberapa kes haiwan itu terlantar sakit dan mati di luar negara.

“Mungkin ketika ini musim sotong dan kumpulan itu berkunjung ke perairan Terengganu,” katanya.


Sekumpulan paus pilot sirip pendek yang ditemui sekumpulan pemancing di perairan Pulau Perhentian dekat Jertih, kelmarin. Foto Ihsan Pembaca

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 12:57 PM