Ahmad Mee diiringgi anggota polis keluar dari kamar Mahkamah Sesyen Kangar hari ini, selepas mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan membakar kereta rasmi Mufti Perlis Zainul Abidin pada Mac lalu. Foto Shahrizal Md Noor
Aizat Sharif dan Dziyaul Afnan Abdul Rahman


PENIAGA mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar hari ini, terhadap dakwaan membakar kereta rasmi Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin di kediamannya pada Mac lalu.

Tertuduh, Ahmad Mee, 49, dari Baling yang juga dikenali pihak media sebagai ‘Mie Tomoi’ menggangguk faham dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh bersama-sama dengan Mohd Azimar Abdul Razak, 36, didakwa melakukan khianat dengan api membakar sebuah kenderaan jenis Honda Accord warna hitam milik kerajaan negeri dengan niat hendak menyebabkan kerosakan di Persiaran Wawasan, Kangar pada 5 pagi, 22 Mac lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan denda.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izham Ali, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Nur Diyana Ab Shukor.

Mohd Izham memohon mahkamah supaya tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, Nur Diyana yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mempertimbangkan suatu jaminan yang minimum memandangkan Ahmad mempunyai pendapatan yang sebanyak RM2,000 sebulan selain menanggung isteri dan ibunya yang lumpuh.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Pada 22 Mac lalu, kereta kegunaan Dr Mohd Asri dibakar pada bahagian bonet selain cermin hadapannya turut dipecahkan dipercayai perbuatan khianat.

Kejadian itu disedari ahli keluarganya ketika mereka melakukan persiapan untuk solat Subuh pada 6.05 pagi.

Berita berkaitan

Kereta Dr MAZA dibakar, cermin dipecahkan

Mee Tomoi bakar kereta dan libas pedang

Mee Tomoi dah kena tangkap

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 3:41 PM