GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP


DALAM keghairahan mencari peluang pekerjaan di luar negara dengan tawaran gaji lumayan, orang ramai diminta melakukan pemeriksaan bagi mengelak ditipu pihak menyamar sebagai ejen pekerjaan.

Ketua Biro Aduan MCA Johor, Michael Tay Chee Boon berkata, ketika negara berdepan keadaan ekonomi tidak menentu, ramai rakyat Malaysia mahu bekerja di negara asing kerana tawaran dan kadar tukaran mata wang lebih tinggi berbanding Ringgit Malaysia (RM).

“Kita faham mereka mahukan pendapatan lebih untuk keluarga, tiada siapa halang mereka. Bagaimanapun, mereka perlu berhati-hati kerana ada pihak mengambil kesempatan dan menyamar sebagai ejen.

“Walaupun baru menerima dua aduan sejak Januari lalu, saya tidak menolak kemungkinan trend sebegini semakin berleluasa kerana mereka (penipu) melihat banyak permintaan (bakal pekerja) atau mereka yang terdesak mencari kerja dan boleh dijadikan mangsa.

“Dalam kes pertama, baru-baru ini, seorang lelaki berusia 32 tahun kerugian RM8,000 apabila ditipu ejen pekerjaan beroperasi di Taman Johor Jaya dan berjanji akan menguruskan kerja mengutip buah di Australia,” katanya ketika ditemui di Johor Bahru, hari ini.

Menurutnya, mangsa membayar RM8,000 sebagai yuran pendaftaran dan urusan mendapatkan kerja, permit kerja serta tiket penerbangan ke Australia.

Katanya, mangsa diberi jaminan akan mendapat pekerjaan dan alamat majikan di Australia diberikan, sebelum mangsa menaiki pesawat ke negara berkenaan.

“Malangnya, apabila mangsa tiba di Australia baru dia sedar alamat dan nama majikan diberikan ejen itu tidak wujud dan visa diberikan hanya visa melawat atau melancong.

“Mangsa tinggal di Australia hampir dua minggu untuk mencari kerja, namun gagal. Mujurlah dia berjaya menghubungi keluarga di Malaysia dan mereka membelikan tiket penerbangan pulang.

“Mangsa pergi pejabat ejen itu di Taman Johor Jaya, namun mendapati pejabat itu sudah ditutup. Mangsa kini bekerja biasa di sekitar bandar raya ini dan enggan membuat laporan polis kerana malu,” katanya.

Menurutnya, dalam kejadian lain, seorang wanita berusia 38 tahun nyaris kerugian RM10,000 apabila ejen sama meminta bayaran perkhidmatan, permit kerja tiket penerbangan untuk bekerja di restoran di Australia.

Katanya, wanita itu ditawarkan gaji AUS2,000 (RM6,000) untuk bekerja di restoran seperti dilakukannya ketika ini dengan gaji RM2,500 sebulan.

“Wanita itu berminat namun dia lebih bijak apabila meminta salinan permit kerja, alamat dan nama restoran untuk membuat pemeriksaan di Internet.

“Mungkin disebabkan terlalu cerewet, ejen pekerjaan lelaki itu enggan melayan wanita berkenaan sebelum pejabat beroperasi di Taman Johor Jaya itu berpindah,” katanya.

Menurutnya, penipuan ejen pekerjaan bukan saja berlaku kepada mereka yang ingin bekerja di Australia, malah ke negara lain termasuk Singapura dan orang ramai diminta lebih berhati-hati.

Katanya, lebih baik sekiranya mereka memeriksa sendiri bakal majikan dicadangkan menerusi Internet dan jika boleh, hubungi pengurusan syarikat itu dan bertanya sama ada mereka memerlukan pekerja atau tidak.

“Dalam keadaan sekarang, ramai ingin bekerja namun banyak pihak bijak mengambil kesempatan. Jadi kami berharap orang ramai lebih berhati-hati dan jangan menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 8:57 PM