KHAW tengah menunjukkan rokok dan arak dirampas. FOTO Garret Dawum.
KHAW tengah menunjukkan rokok dan arak dirampas. FOTO Garret Dawum.
Garret Dawum


SEJUMLAH rokok dan arak pelbagai jenama tanpa cukai bernilai RM1.14 juta dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam dua serbuan berasingan di Kota Samarahan dan Limbang, semalam.

Serbuan membabitkan sebuah premis berhampiran bengkel lori di Jalan Muara Tuang, Kota Samarahan dan di rumah di Jalan Kubong, Limbang.

Komander Briged PGA Sarawak, Datuk Khaw Kok Chin berkata, dua pasukan digerakkan ke lokasi dengan serbuan di Limbang bermula 12.30 tengah hari, manakala di Kota Samarahan pada 3 petang.

Katanya, operasi sempena Ops Libas itu antara terbesar dijalankan setakat ini.

“Pemeriksaan di premis di Kota Samarahan menemui 102 kotak mengandungi 5,790 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM970,200 dan lelaki tempatan berusia 23 tahun dipercayai penjaga stor ditahan.

“Semua barang rampasan dan tahanan dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PGA Sarawak di Kuching, hari ini.

Khaw berkata, serbuan berikutnya pula menemui 147 botol dan empat kotak minuman keras pelbagai jenama serta 102 karton rokok.

Katanya, turut dirampas kereta Proton Saga dan sebuah pacuan empat roda jenis Ford Ranger disyaki digunakan untuk aktiviti penyeludupan.

“Rampasan bernilai RM172,274 dan seorang wanita tempatan berusia 48 tahun ditahan seterusnya diserahkan kepada IPD Limbang untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kes akan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Kesemua barang rampasan dipercayai untuk diseludup,” katanya.

Sementara itu, katanya, sejak Januari hingga semalam, 72 kes dicatatkan menerusi Ops Libas, Awas dan Batas dengan nilai rampasan berjumlah RM16.29 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 11:43 AM