RUSA betina mati dilanggar motosikal di Kilometer 105, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Terminal Minyak Mentah, Kerteh, hari ini. FOTO ihsan pembaca


SEEKOR rusa betina mati selepas dilanggar motosikal dalam kejadian di Kilometer 105, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Terminal Minyak Mentah, Kerteh, hari ini.

Kejadian dipercayai berlaku pada 9 pagi ketika lelaki berusia 20-an itu dalam perjalanan dari Kemaman untuk menghadiri program Terengganu International Drag Strip di Gong Badak, Kuala Nerus dengan menunggang motosikal Yamaha 135LC.

Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, rusa itu tiba-tiba melintas dan penunggang terbabit gagal mengelak sebelum terlanggar haiwan berkenaan.

Lelaki terbabit yang tercampak di atas jalan diberi rawatan kecemasan oleh pasukan unit Perkhidmatan Kecemasan dan Kebakaran Pusat (CEFS) PETRONAS sebelum dibawa ke klinik kesihatan berhampiran.

Penduduk, Che Ibrahim Che Ngah, 59, berkata, rusa itu mungkin dibela atau keluar dari hutan Kampung Labuhan.

“Saya dimaklumkan ada pengusaha menternak rusa di sebuah kampung berdekatan, termasuk dibela syarikat minyak di situ.

“Mungkin ia terlepas dari kandang atau tersesat dari hutan itu. Saya tidak pasti kerana ini kemalangan pertama membabitkan rusa di kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusof ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, pihaknya mengarahkan anggotanya ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti kemunculan haiwan itu.

“Kita akan menyiasat sama ada rusa itu dibela atau datang dari hutan berhampiran,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Datuk Wan Mohd Hasnan Abdullah ketika dihubungi berkata, siasatan awal mengesahkan rusa itu bukan berasal dari Taman Rusa milik PETRONAS.

Kemunculan pelbagai jenis haiwan di Terengganu kebelakangan ini mencuit hati ramai orang sehingga ada warganet yang berjenaka mengenainya di laman sosial.

Ini berikutan, kemunculan harimau belang jinak yang menggemparkan penduduk di Kampung Besul Lama, Bukit Besi, Dungun pada 18 Julai lalu.

Sebelum itu, kehadiran sepasang paus pembunuh di kawasan perairan Kerteh dan sekumpulan paus pilot sirip pendek pula ditemui berenang berhampiran Pulau Perhentian dekat Jertih, 25 Julai lalu.

Tidak ketinggalan, kejayaan PERHILITAN menangkap beruang matahari yang merisaukan orang ramai serta mengganggu sarang kelulut penduduk di Felda Belara, Kuala Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 3:35 PM